July 15, 2025

Harraz wakili UTM dalam misi YSS Vietnam pelajari erti tanggungjawab sosial

HO CHI MINH, 8 Julai – Program Sukarelawan Siswa 2025 anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah berlangsung dari 5 Julai hingga 8 Ogos 2025 di sekitar Cu Chi District, An Nhin Tay Commune, Ho Chi Minh, Vietnam. Inisiatif ini bertujuan untuk membentuk mahasiswa sebagai pemimpin masa depan yang berdaya tahan dan serba boleh, sambil menanamkan nilai kesukarelawan dalam kalangan siswa institusi pengajian tinggi.

Seramai 53 orang pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara telah terpilih menyertai program ini selepas melalui proses temuduga ketat yang dijalankan di Kementerian Perpaduan Negara, Putrajaya. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diwakili oleh Muhammad Harraz Shahsaidi, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam dari UTM Kuala Lumpur.

Pengalaman menyertai misi kesukarelawan membuka mata Harraz tentang erti sebenar kehidupan
Seramai 53 pelajar dari seluruh negara terpilih menyertai program anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa di bawah Kementerian Perpaduan Negara

Sukarelawan YSS bukan sekadar terlibat dalam aktiviti sosial, tetapi turut dilatih untuk merancang, melatih dan mengurus program dengan lebih sistematik. Melalui pendekatan berasaskan komuniti, peserta diasah dengan nilai empati dan kepentingan hubungan bermasyarakat, memberi makna sebenar kepada erti kehidupan yang sering kali tidak dapat diperoleh dalam bilik kuliah.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah gotong-royong membersih dan membaik pulih fasiliti penduduk setempat termasuk dinding tadika serta gelanggang sukan di An Nhin Tay Commune. Tugas ini bukan sahaja menceriakan kawasan sekitar, malah mengeratkan hubungan antara sukarelawan dan komuniti tempatan.

Program baik pulih dinding tadika di Cu Chi District yang dijayakan oleh sukarelawan

Cabaran bahasa turut menjadi pengalaman unik buat Harraz apabila berdepan kesukaran berkomunikasi dengan penduduk tempatan yang rata-ratanya tidak fasih berbahasa Inggeris. Namun, beliau mengambil peluang ini untuk menyertai projek street study yang memberi bimbingan Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak yang tidak berpeluang bersekolah.

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa kehidupan bukan sekadar apa yang kita lihat dalam talian. Masih ada lagi kanak-kanak yang tidak pernah melangkah ke alam persekolahan,” ujar Harraz.

Program “Children’s Day” yang dianjurkan oleh komuniti setempat bersama para sukarelawan
Kerja gotong-royong bersama penduduk memerlukan kerjasama yang erat dan semangat berpasukan

Perjalanan yang jauh dari Kuala Lumpur ke Vietnam bukan sekadar satu misi, tetapi membuka pintu kepada kesedaran sosial yang mendalam. Harraz menyifatkan penglibatannya dalam program ini sebagai pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana dan menyeru agar lebih ramai mahasiswa mengambil peluang menyertai aktiviti kesukarelawan bagi menyumbang kepada masyarakat dan membina jati diri.

Program Sukarelawan Siswa 2025 bukan sekadar medan khidmat komuniti, tetapi turut menjadi platform pembinaan karakter, kepemimpinan dan kesedaran sivik dalam kalangan mahasiswa. Melalui pendedahan kepada realiti kehidupan masyarakat yang serba mencabar, peserta bukan sahaja belajar memberi, tetapi turut pulang dengan pengalaman bermakna yang membentuk perspektif baharu tentang tanggungjawab sosial sebagai warga global.

Explore More