KUALA LUMPUR, 17 Julai – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah melaksanakan sebuah inisiatif komuniti berimpak tinggi melalui geran Knowledge Transfer Programme – Research Innovation Grant (UTM KTP-RIG). Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta kemahiran asas dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Sub-projek yang dinamakan “Meningkatkan Kesedaran Pelajar Sekolah Mengenai Teknologi AI dan Hala Tuju Kerjaya Masa Depan” telah dijalankan di SMK Padang Tembak, Kuala Lumpur. Seramai 25 orang pelajar Tingkatan 3 aliran Asas Sains Komputer telah terlibat dalam program ini yang berlangsung dalam suasana interaktif. Program ini diketuai oleh Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali dari FAI, UTM Kuala Lumpur, dengan sokongan tenaga akademik berpengalaman iaitu Ts. Dr. Normaisharah Mamat, Dr. Siti Maherah Hussin dan Dr. Noor Jannah Zakaria.
Sub-projek ini memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai konsep asas platform Google Colab serta potensi besar teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pelbagai sektor pekerjaan masa hadapan. Sepanjang program ini, pelajar didedahkan kepada pelbagai pengisian menarik yang merangkumi aspek teori dan praktikal. Mereka diperkenalkan kepada konsep asas AI dan aplikasinya dalam kehidupan seharian, termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan, pertanian dan perniagaan.
Seterusnya, pelajar dibimbing menggunakan platform Google Colab sebagai alat mesra pengguna untuk menulis dan melaksanakan kod Python secara dalam talian. Melalui sesi pengaturcaraan asas, mereka mempelajari kemahiran penting dalam penulisan kod yang melibatkan penggunaan pembolehubah, jenis data dan struktur kawalan asas.

Di samping itu, pelajar turut mempelajari asas pengendalian data serta teknik visualisasi menggunakan pustaka seperti Pandas dan Matplotlib, yang membolehkan mereka memahami bagaimana data boleh digunakan untuk membuat keputusan berasaskan maklumat. Sebagai kemuncak, mereka diminta membangunkan mini-projek penyelesaian masalah harian berasaskan teknologi AI, yang bukan sahaja mengukuhkan kefahaman terhadap kandungan yang dipelajari, malah menyemai keyakinan dan kreativiti dalam meneroka aplikasi sebenar teknologi masa kini.
Melalui pendekatan berasaskan pembelajaran aktif serta bimbingan secara langsung, program ini berjaya mencetuskan minat dan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap potensi AI dan penggunaannya dalam dunia sebenar. Pelajar turut melahirkan rasa teruja dan berminat untuk meneroka kerjaya dalam bidang teknologi serta inovasi digital.


Program ini bukan sahaja menyokong agenda nasional dalam memperkasa pendidikan STEM di peringkat sekolah, malah berperanan penting dalam memupuk minat generasi muda terhadap bidang teknologi yang semakin kritikal kepada kemajuan negara.
Secara keseluruhan, inisiatif ini membuktikan komitmen UTM dalam memperluas manfaat ilmu pengetahuan melalui pemindahan kepakaran kepada komuniti, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju pendidikan dan teknologi berimpak tinggi.
