JOHOR BAHRU, 4 Jun – Siri keempat Wacana Intelektual MADANI 2025 yang mengangkat tema “Kejuruteraan Awam: Pemangkin Pembangunan Mampan dan Kesihatan Planet” berjaya dilangsungkan di Smart Classroom Siti Hamisah Tapsir, Blok D02, Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program anjuran Majlis Profesor dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Awam ini dikendalikan oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din, Pengarah Pusat Pelestarian Kampus (CCS) selaku moderator, serta menampilkan dua figura berpengaruh dalam bidang akademia dan pembangunan negara, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Presiden dan Naib Canselor UCSI University, dan YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, mantan Naib Canselor ke-6 UTM.

Peranan strategik kejuruteraan awam dalam isu global
Mengulas soal perubahan iklim dan pembangunan lestari, Prof. Siti Hamisah menegaskan bahawa bidang kejuruteraan awam perlu berevolusi daripada peranan tradisional kepada yang lebih menyeluruh.
“Dengan suhu global dijangka meningkat dari 1.5 ke 2.0 darjah Celsius, cabaran utama kejuruteraan awam bukan hanya membina jambatan atau bangunan – tetapi bagaimana kita boleh meramalkan bila perubahan iklim seperti banjir akan berlaku dan seberapa teruk kerosakan boleh berlaku?” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa elemen kemanusiaan dan budaya perlu diterapkan dalam kurikulum. Pembinaan lestari akan gagal jika tidak diiringi perubahan budaya masyarakat.
“Semua kurikulum, semua kursus mesti diterapkan dengan elemen kelestarian. Pada masa yang sama, mesti ada juga elemen kemanusiaan, elemen budaya, nilai dan etika. Negara itu sendiri perlu berubah — budaya dan kelas pemikiran kita juga perlu berubah,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan bahawa elemen kemanusiaan dan budaya perlu diterapkan dalam kurikulum kejuruteraan. Menurutnya, usaha pembinaan lestari tidak akan mencapai keberkesanan sekiranya tidak disertai dengan perubahan budaya dalam kalangan masyarakat. Beliau menjelaskan bahawa meskipun infrastruktur dibangunkan dengan standard tertinggi, budaya yang tidak selari dengan nilai kelestarian akan menghalang pencapaian matlamat sebenar pembangunan mampan.

Akauntabiliti sebagai teras kelestarian
Menurut Prof. Wahid, kelestarian perlu disokong dengan rasa tanggungjawab yang mendalam.
“Kelestarian itu sebenarnya berkait rapat dengan soal kebertanggungjawaban. Bila kita sebut tentang ‘sustainability’, ia membawa maksud bahawa kita akan dipertanggungjawabkan. Bagi saya, kelestarian ini sangat besar maknanya dalam konteks peranan kita menjaga dan memikul tanggungjawab yang sewajarnya.”
Beliau menekankan bahawa kejayaan projek bukan semata-mata terletak pada siapnya struktur, tetapi kepada manfaat jangka panjang dan kebertanggungjawaban semua pihak.

Kebolehpasaran graduan dan hubungan dengan industri
Menyentuh soal pembangunan kompetensi graduan kejuruteraan dalam mendepani era digitalisasi dan teknologi seperti Model Maklumat Bangunan (Building Information Modeling, BIM) serta Internet Pelbagai Benda (Internet of Things, IoT), Prof. Siti Hamisah menyeru kerjasama lebih erat antara universiti dan industri.
Beliau turut menyatakan bahawa sistem pendidikan telah melakukan yang terbaik, tetapi pasaran perlu membuka pintu.
“Saya percaya pelajar-pelajar kita memang bagus. Kalau mereka boleh diterima bekerja di Singapura dan Dubai, kenapa tidak di industri tempatan sendiri? Apa yang penting, kita perlu wujudkan permintaan – iaitu dengan menjalinkan kerjasama yang lebih erat antara universiti dan industri,” ujar beliau sambil menegaskan bahawa graduan Malaysia sebenarnya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Penyelenggaraan, kos dan kompetensi
Prof. Wahid turut mengangkat isu penyelenggaraan, implikasi kos dan keperluan kompetensi dalam pengurusan prasarana dan pembangunan lestari yang sering diabaikan.
“Kita ada data, ada rekod, kita tahu apa masalahnya – jadi sepatutnya kita ada tahap pemikiran yang analitik, yang betul-betul kritikal. Kita kena bertindak dari pihak kita sendiri, secara proaktif. Penyelenggaraan ini pun mesti dibuat secara proaktif,” ujar beliau sambil menekankan keperluan membudayakan pemikiran analitik dan tindakan segera dalam kalangan pasukan kejuruteraan.
Menurut beliau, setiap projek perlu mengambil kira bukan sahaja pembinaan, tetapi sistem penyelenggaraan jangka panjang yang efisien dan berasaskan integriti — sesuai dengan prinsip ISES: Integrity, Synergy, Excellence dan Sustainability.
Kelestarian adalah tentang kemanusiaan
Wacana tersebut diakhiri dengan penegasan mesej utama daripada kedua-dua tokoh panel. Prof. Siti Hamisah menekankan bahawa penyelidikan dan inovasi tidak seharusnya terpisah daripada keperluan masyarakat, sebaliknya perlu memberi impak secara langsung kepada kehidupan manusia. Beliau menjelaskan bahawa kelestarian bukan hanya berkaitan dengan alam sekitar semata-mata, tetapi turut melibatkan aspek kemanusiaan sebagai teras utama dalam setiap usaha pembangunan.
Sementara itu, Prof. Wahid menekankan kepentingan pendekatan yang menyeluruh serta merentasi pelbagai bidang ilmu. Beliau menyarankan agar bidang sains sosial diberi peranan lebih dominan dalam usaha mendidik masyarakat memahami tanggungjawab mereka terhadap pembangunan mampan. Dalam penutupnya, beliau turut mengingatkan bahawa setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dengan tanggungjawab, dan tidak mementingkan diri sendiri demi kesejahteraan bersama.

Wacana Intelektual MADANI Siri Keempat ini berjaya membuka ruang intelektual yang luas dan mendalam dalam melihat semula peranan kejuruteraan awam sebagai teras pembangunan negara yang beretika, mampan dan berperikemanusiaan.
Dengan penglibatan tokoh-tokoh penting dan pengalaman sebenar yang dikongsikan, wacana ini bukan sahaja menjadi platform intelektual, tetapi juga medan refleksi buat semua pihak – dari mahasiswa, pensyarah, jurutera sehinggalah pembuat dasar.
