June 14, 2025

UTM terap kesedaran awal hadapi gelombang haba kepada pelajar sekolah

JOHOR BAHRU, 10 Jun – Satu program kesedaran dan pemetaan ko-adaptasi bertajuk “Perubahan Iklim: Adaptasi dan Kesiapsiagaan Gelombang Haba” telah berjaya dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pulai Perdana oleh pelajar kursus kokurikulum berkredit ULRF2172-01 & UKQF2092-01 (Sains dan Komuniti) di bawah Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini dijalankan dengan kerjasama SMK Seri Pulai Perdana dan Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), UTM, serta mendapat bimbingan akademik daripada pengajar, Dr. Zulfaqar Sa’adi dan penyelaras kluster akademik, Dr. Fairuz Diyana Ismail.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah menengah terhadap isu perubahan iklim global dan impak gelombang haba yang semakin ketara di Malaysia. Seramai 33 pelajar Tingkatan 3 al-Ghazali terlibat secara langsung dalam program interaktif ini, yang merangkumi sesi ceramah, aktiviti pemetaan risiko, dan pembentangan kumpulan. Dalam ucapan pembukaan, Presiden Program, Ng Bang Qi menekankan kepentingan menyemai kefahaman iklim sejak usia muda agar generasi baharu lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan secara kolektif.

Ng Bang Qi menyampaikan ucapan pembukaan program
Sesi 2 “Adaptasi dan Penjagaan Diri” disampaikan oleh Ainatasnim Jamaluddin

Program dimulakan dengan Sesi 1: “Memahami Perubahan Iklim dan Gelombang Haba” yang menghuraikan punca perubahan iklim—sama ada secara semula jadi mahupun akibat aktiviti manusia—serta kesannya di peringkat global dan nasional. Pelajar turut didedahkan dengan kejadian gelombang haba di Malaysia serta kesannya terhadap kesihatan dan rutin harian.

Sesi 2: “Adaptasi dan Penjagaan Diri” memberi fokus kepada langkah-langkah adaptasi terhadap perubahan iklim dan perbezaannya dengan mitigasi. Pelajar diperkenalkan kepada amalan penjagaan kesihatan sewaktu cuaca panas melampau, selari dengan peningkatan kejadian cuaca ekstrem.

Kemuncak program ialah Sesi 3: “Pemetaan Ko-Adaptasi terhadap Gelombang Haba”, yang memperkenalkan teknik pemetaan kolaboratif bagi mengenal pasti kawasan panas (hot spot), kawasan selamat (cool spot), serta intervensi yang telah dilaksanakan di kawasan sekolah. Melalui aktiviti dotmokrasi berkumpulan, pelajar menilai dan memilih langkah adaptasi yang paling relevan dengan persekitaran mereka.

Pelajar membincangkan pemetaan risiko dalam kumpulan
Pemetaan ko-adaptasi pelajar serta paparan Galeri Foto Suara

Program turut menampilkan dua inisiatif sampingan, iaitu Pokok Janji Kita dan Galeri Foto Suara. Pokok Janji Kita berperanan sebagai simbolik ikrar pelajar untuk bertindak terhadap perubahan iklim, manakala Galeri Foto Suara menampilkan ekspresi visual pelajar tentang isu gelombang haba, sekali gus meningkatkan kesedaran secara kreatif dan reflektif.

Program ini secara keseluruhannya memperkukuh pemahaman pelajar mengenai kepentingan kerjasama komuniti dalam mempertingkat ketahanan iklim, selain menggalakkan tindakan proaktif dan lestari pada peringkat akar umbi. Inisiatif ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan aspirasi negara dalam membina literasi iklim dalam kalangan generasi muda.

Menariknya, program ini juga merupakan komponen pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) bagi pelajar UTM melalui Projek Kursus Ko-Kurikulum yang melibatkan seramai 19 pelajar. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap permohonan dana, perancangan, dan pelaksanaan aktiviti lapangan — menjadikan program ini satu platform pembelajaran yang signifikan dan aplikatif dalam konteks sebenar.

Sesi bergambar bersama peserta dan penganjur di Laman Sakinah selepas program

Explore More