July 10, 2025

JOHOR BAHRU, 20 Jun 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kedudukannya di peringkat global dalam pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDGs) dengan mengekalkan kedudukan ke-164 dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025.

UTM sekali lagi mengungguli kategori SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur, mengekalkan kedudukan No. 1 di Malaysia selama tujuh tahun berturut-turut (2019–2025). Kejayaan ini meletakkan UTM sebagai satu-satunya universiti di negara ini yang konsisten menguasai kategori tersebut, sekaligus memperkukuh reputasi institusi ini sebagai peneraju dalam membentuk ekosistem inovasi lestari, penyelidikan berimpak tinggi, dan pembangunan infrastruktur pintar.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, “Pengekalan UTM di kedudukan #164 dunia dan yang pertama di negara bagi SDG 9 selama tujuh tahun berturut-turut adalah refleksi kepada komitmen kolektif warga UTM terhadap inovasi lestari dan penyelidikan yang memberi impak nyata kepada masyarakat dan negara.”

“Pencapaian ini juga didorong oleh pelaksanaan UTM Action Plan 2024–2025, yang memfokuskan kepada penterjemahan ilmu kepada impak, serta penyelesaian berasaskan sains, teknologi dan kejuruteraan yang bukan sahaja relevan, tetapi juga menginsankan teknologi untuk manfaat sejagat.”

Tambah beliau lagi,  “Usaha ini juga diinspirasi oleh hala tuju Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir yang sentiasa menekankan kelestarian dan impak Universiti kepada masyarakat”.

Sebagai universiti yang mendukung inisiatif kesihatan planet, UTM mempergiat pelaksanaan UTM Sustainable Blueprint 2030, yang mengangkat SDG 9 sebagai asas pembangunan lestari institusi. Usaha ini memperlihatkan kesungguhan UTM dalam memperkasa teknologi untuk memulihara alam sekitar, memperkukuh keadilan sosial, dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

UTM turut mencatat markah penuh 100% bagi SDG 7: Tenaga Bersih dan Mampu Milik, meletakkan universiti ini dalam kelas tersendiri dari segi penggunaan tenaga karbon rendah, pemodenan fasiliti hijau, serta integrasi tenaga boleh diperbaharui dalam operasi kampus. Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi Net-Zero Carbon Campus, memperkukuh lagi komitmen UTM terhadap keseimbangan antara pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

Bagi SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab pula, UTM terus menunjukkan kecemerlangan menerusi pelaporan kelestarian yang telus dan menyeluruh, dengan markah penuh 100%. Pelaporan ini menekankan akauntabiliti dalam pengurusan sumber, pemantauan impak operasi kampus, serta amalan pembelian hijau yang lestari.

Manakala SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat turut mencatatkan markah maksimum bagi indikator “Relationships to Support the Goals”. Ini membuktikan kekuatan UTM dalam membina jaringan kerjasama rentas benua  termasuk penglibatan aktif dalam ASEAN Smart Cities Network, penyelidikan bersama antarabangsa, pemindahan teknologi dengan industri, dan program komuniti berasaskan inovasi.

Secara keseluruhannya, pencapaian ini mengukuhkan peranan UTM sebagai universiti yang memacu penyelesaian lestari, menginsankan teknologi, dan memperjuangkan kesihatan planet secara menyeluruh  selaras dengan tagline “Menginovasi Penyelesaian Lestari” dan moto keramat “Kerana Tuhan untuk Manusia.”

Sumber rujukan data dan analisis : Pusat Pelestarian UTM (UTM CS)

Explore More