JOHOR BAHRU, 26 Jun – Seramai 25 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada Kursus Pembuatan Perabot (ULRF 2482) telah berjaya melaksanakan satu inisiatif pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) menerusi pembangunan Dinding Sensori untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan (P) Bandar Tinggi, Johor Bahru. Program ini merupakan sebahagian daripada komponen kursus di bawah seliaan Encik Mohideen Kutty Omar dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM.

Program ini bertujuan memperkenalkan pendekatan pengajaran yang lebih responsif dan inklusif kepada murid MBK, dengan memberi penekanan terhadap keperluan deria dalam proses pembelajaran harian. Dinding sensori yang dibangunkan merangkumi elemen-elemen sentuhan, visual, bunyi dan pergerakan yang direka khas untuk merangsang perkembangan kognitif, motor halus serta meningkatkan tumpuan murid dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mudah diakses.
Usaha ini turut melibatkan kerjasama erat pihak pentadbiran sekolah, guru-guru pendidikan khas dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Perbincangan awal bagi penyelarasan program telah diadakan pada 8 April 2025 di FEST UTM bagi memastikan keperluan murid MBK dikenal pasti secara menyeluruh dan ditangani secara efektif. Pendekatan pembangunan dinding sensori juga mengambil kira tahap keupayaan murid serta kesesuaian aktiviti dengan persekitaran pembelajaran sedia ada di sekolah.
Pada hari pelaksanaan program, pelajar UTM telah mengendalikan pelbagai aktiviti yang memberi peluang kepada murid untuk mencuba secara langsung penggunaan dinding sensori di dalam bilik darjah. Selain sesi taklimat dan demonstrasi, pelajar turut berinteraksi aktif dengan guru-guru pendidikan khas bagi memastikan penggunaannya boleh diteruskan secara berkesan selepas program tamat. Aktiviti ini turut mewujudkan suasana pembelajaran dua hala yang menyeronokkan serta meningkatkan penglibatan murid secara bermakna.

Menurut salah seorang guru pendidikan khas, murid-murid sangat teruja dengan aktiviti yang menggabungkan elemen fizikal dan mental. Katanya, “Pendekatan seperti ini amat berkesan kerana ia menjadikan pembelajaran lebih hidup dan bermakna. Murid bukan sahaja belajar secara langsung, malah mereka turut terlibat secara emosi dan sosial.”
Hasil soal selidik yang dijalankan selepas program menunjukkan bahawa majoriti murid berasa seronok dan berterima kasih atas pengalaman baharu yang diperoleh. Seorang murid menyatakan, “Saya suka sebab seronok dan cikgu serta abang dan kakak UTM semua baik.” Respons ini mencerminkan impak positif program dalam menyediakan suasana pembelajaran yang mesra, inklusif dan mendorong rasa percaya diri dalam kalangan murid MBK.
Program ini secara tidak langsung turut memberi ruang kepada pelajar UTM untuk mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, empati, kepimpinan dan pengurusan projek dalam konteks dunia sebenar. Ia memperlihatkan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang bukan sahaja membina kecekapan teknikal, malah memperkukuh nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
Secara keseluruhan, inisiatif pembangunan Dinding Sensori ini telah berjaya membuka ruang kolaborasi bermakna antara institusi pengajian tinggi dan sekolah rendah, sekali gus memperkukuh komitmen terhadap pendidikan yang lebih menyeluruh dan berkesan untuk semua lapisan murid. Ia merupakan contoh terbaik bagaimana inovasi dalam pendidikan dapat digerakkan melalui semangat kesukarelawanan, keilmuan dan kepedulian sosial.
