HULU LANGAT, 28 Jun – Satu program pemindahan ilmu di bawah dana Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya dilaksanakan di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Pangsun, Hulu Langat. Program yang dinamakan Program Peningkatan STEM, TVET, Kesihatan dan Sosioekonomi ini merupakan sebahagian daripada Program Pemindahan Ilmu – Geran Inisiatif Penyelidikan (KTP-RIG) yang menyasarkan pemerkasaan komuniti menerusi pemindahan ilmu secara langsung.
Inisiatif ini diketuai oleh Dr. Nurul Zainab Along yang turut memimpin projek pemasangan filem penapis haba oleh belia Orang Asli. Selain itu, tiga lagi projek dilaksanakan serentak dalam program ini, iaitu eksplorasi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama pelajar Orang Asli yang diketuai oleh Dr. Nabilah Zaini; peningkatan tahap kesihatan bersama kaum ibu yang diketuai oleh Ir. Dr. Norhasnidawani Johari; serta pemerkasaan keusahawanan dalam kalangan wanita komuniti yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Siti Hamidah Setapar.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Dekan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Hussain, dan turut dihadiri wakil CCIN, Sohailah Safie. Penganjuran program turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai rakan strategik, antaranya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Kuala Lumpur Utara bagi sub-projek keusahawanan, yang diwakili oleh Penasihatnya, Prof. Madya Dr. Nurazah Abd Manaf dan Pengerusinya, Ustazah Azila Samsudin. Projek penapis haba pula disokong oleh TMK Industries Sdn. Bhd. menerusi wakilnya, Mohd Fadzli Che Harun, serta Majlis Belia Orang Asli (MBOA) melalui penyertaan Clive Allen Williams Hunt. Manakala sub-projek kesihatan dan keusahawanan turut menerima dukungan daripada organisasi SHE EMPIRE dan NK GROUP.

Program ini tidak mungkin dapat dijalankan tanpa sokongan padu daripada Tok Batin KOA Kuala Pangsun, Andak Anak Pendek dan Pengerusi KOA, Roslan Asoi yang menyediakan ruang dan fasiliti sepanjang pelaksanaan program. Wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Hulu Langat, Norazila Zakaria, yang merupakan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah turut hadir dalam kedua-dua majlis, iaitu perasmian dan penutupan.

Melalui pendekatan ini, masyarakat KOA Kuala Pangsun diberikan pendedahan secara langsung kepada ilmu yang dapat membantu mereka dalam pembangunan sosioekonomi setempat. Program ini juga memberi peluang kepada para pensyarah dan pelajar UTM untuk mendekati komuniti secara praktikal, sekali gus memperkukuh semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan dalam pendidikan tinggi.
Program ini akan diteruskan ke peringkat pemantauan bagi menilai keberkesanan pemindahan ilmu yang telah dijalankan. Ketua-ketua projek akan membuat susulan bagi melihat sejauh mana komuniti mampu mengaplikasikan pengetahuan yang diterima dalam kehidupan seharian. Pada tahap seterusnya, inisiatif ini dijangka mampu melahirkan komuniti yang bukan sahaja menerima, tetapi juga menyebarkan ilmu tersebut kepada kelompok lain dalam kalangan masyarakat Orang Asli.