JOHOR BAHRU, 14 Jun – Seramai 50 orang peserta terdiri daripada ibu bapa komuniti Taman Teratai telah menyertai Program Keibubapaan Eco-Parenting: Nature-Based Family Therapy anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Dana Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG), melalui kolaborasi bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Iskandar Puteri. Program yang berlangsung di Tabika KEMAS Bestari Taman Teratai ini bertujuan memperkukuh kesejahteraan kesihatan mental keluarga melalui pendekatan terapi berasaskan alam semula jadi, yang menggabungkan elemen keibubapaan lestari dan intervensi psikososial.

Program ini dilaksanakan secara interaktif dan inklusif, di mana para peserta melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti seperti ceramah kesedaran kesihatan mental yang menekankan peranan ibu bapa dalam mengurus tekanan harian dan emosi keluarga, latihan dalam kumpulan yang memupuk kemahiran komunikasi berkesan antara pasangan suami isteri, serta aktiviti praktikal seperti menanam pokok sayuran hijau yang dijalankan secara kolaboratif bersama anak-anak mereka. Aktiviti ini bukan sahaja bertujuan mendekatkan ibu bapa dengan alam sekitar, malah berfungsi sebagai medium refleksi kendiri terhadap gaya keibubapaan masing-masing.

Pendekatan program ini berpaksikan Modul Eco-Parenting & Family Therapy dan Parenting Journaling yang dibangunkan oleh pasukan penyelidik dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM. Modul ini dirangka berasaskan kajian terkini dalam bidang kaunseling keluarga, psikologi positif dan ekoterapi, dengan penekanan terhadap hubungan erat antara kesihatan mental, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar. Selain itu, modul ini turut menggalakkan amalan penulisan jurnal keibubapaan sebagai alat reflektif dan terapeutik dalam membentuk kesedaran diri serta meningkatkan kemahiran keibubapaan secara berterusan.

Program ini diketuai oleh Dr. Nur Azmina Paslan, pakar dalam bidang kaunseling komuniti dan kesejahteraan keluarga, dengan sokongan tenaga akademik lain iaitu Dr. Fauziah Zaiden, Dr. Nur Fatihah Raimi dan Dr. Salmalina Salleh, bersama barisan fasilitator terlatih. Kesemua tenaga penggerak ini memainkan peranan penting dalam menjayakan program yang bersifat holistik, mesra komuniti dan berasaskan bukti.

Menurut Dr. Nur Azmina, inisiatif sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada ibu bapa dari segi pengurusan emosi dan tekanan, malah memperkukuh ikatan kekeluargaan serta membentuk jaringan sosial yang sihat dalam komuniti setempat. Tambah beliau, terapi berasaskan alam semula jadi boleh menjadi medium alternatif yang efektif dalam menyampaikan nilai-nilai keibubapaan positif dan pembangunan kendiri dalam suasana yang santai dan mendamaikan.

Program ini turut menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3, Kesihatan dan Kesejahteraan serta SDG 11, Bandar dan Komuniti yang Lestari. Ia juga berpotensi menjadi model rujukan kepada usaha kolaboratif antara universiti dan agensi komuniti dalam merangka intervensi keluarga yang mampan, mesra alam dan berpaksikan data. Secara keseluruhan, program ini membuktikan bahawa pendidikan keibubapaan yang bersifat transdisiplin mampu memberikan impak jangka panjang terhadap kesejahteraan komuniti dan pembangunan keluarga yang seimbang dari aspek emosi, sosial dan persekitaran.