June 26, 2025

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menzahirkan penghargaan terhadap jasa warga kerjanya apabila meraikan seramai 343 individu menerusi Majlis Sanjungan Budi 2025 yang berlangsung hari ini. Majlis anjuran tahunan itu menghimpunkan pesara, bakal pesara serta kakitangan yang telah berkhidmat selama 20, 30 dan 40 tahun, sebagai tanda penghormatan atas sumbangan mereka dalam memajukan universiti.

Pro-Canselor UTM, Profesor Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Datuk Mohd Zulkifli Mohd Ghazali yang juga mantan Naib Canselor UTM keempat berkata, majlis sedemikian adalah manifestasi budaya mengenang budi serta pengiktirafan terhadap amanah yang ditunaikan dengan penuh integriti.

“UTM tidak akan mencapai kedudukannya hari ini tanpa komitmen tinggi warga kerjanya. Majlis ini mencerminkan rasa hormat dan penghargaan kepada insan-insan yang meletakkan kepentingan organisasi dan pelajar sebagai keutamaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Profesor Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Datuk Mohd Zulkifli Mohd Ghazali ketika menyampaikan ucapan perasmian

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyifatkan bahawa majlis ini bukan sahaja meraikan mereka yang telah menamatkan perkhidmatan, malah turut mengiktiraf jasa staf yang setia dan terus menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen luar biasa dalam memacu kecemerlangan UTM dari semasa ke semasa.

Beliau turut menyatakan bahawa tempoh perkhidmatan antara dua hingga empat dekad bukanlah suatu jangka masa yang mudah, namun tetap menjadi tonggak kepada kecemerlangan universiti.

“Tempoh ini bukanlah satu jangka masa yang singkat, saya pastu ianya penuh dengan cabaran, perubahan dasar, transformasi teknologi, serta tuntutan baharu dunia pendidikan tinggi. Namun begitu, kesetiaan tuan-tuan dan puan-puan menjadi tiang seri yang mengukuhkan perjalanan universiti ini,” katanya.

Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim ketika menyampaikan ucapan alu-aluan

Daripada keseluruhan penerima, seramai 96 orang terdiri daripada pesara dan bakal pesara bagi tahun 2025, manakala enam menerima Anugerah Delima (40 tahun perkhidmatan), 34 menerima Anugerah Jasa Setia (30 tahun), dan 207 menerima Anugerah Jasa Budi (20 tahun).

Antara pesara akademik yang turut diraikan ialah Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, yang telah menabur bakti selama 36 tahun sejak mula menyertai UTM pada usia 23 tahun. Beliau memulakan perkhidmatan di Institut Sains Komputer, yang kini dikenali sebagai Fakulti Komputeran, sebelum mengakhiri perkhidmatan tetapnya di Fakulti Kecerdasan Buatan (AI).

“Kenangan manis saya di UTM adalah apabila mendapat ramai rakan seperjuangan dalam bidang mendidik anak bangsa, dan melihat pelajar-pelajar kita berjaya di luar sana membantu keluarga dan masyarakat. Itu yang paling manis,” ujar Prof. Shamsul yang memulakan kerjaya di UTM pada tahun 1989.

Prof. Dr. Shamsul ketika berucap mewakili pesara akademik  

Badrul Hurrairi Muhammad, salah seorang pesara staf pengurusan, profesional dan pelaksana yang memulakan khidmatnya pada 1 November 1988, beliau telah menyumbangkan tenaga dan komitmen dalam pelbagai tugas utama, termasuk menguruskan mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan melibatkan diri sebagai pekerja acara dalam majlis konvokesyen UTM sejak tahun 1994.

Dalam ucapan perpisahannya sebagai wakil pesara, beliau menyatakan bahawa pemergiannya dari UTM membawa pelbagai emosi yang sukar digambarkan.

“Gembira kerana telah dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab, sedih kerana akan meninggalkan tempat kita bekerja yang agak lama, terharu kerana diberikan penghargaan yang sebegini indah dalam Majlis Sanjungan Budi 2025, dan bersyukur kerana dapat melaksanakan amanah bersesuaian dengan moto universiti – Kerana Tuhan untuk Manusia,” tambahnya lagi.

Setelah 37 tahun berkhidmat, Badrul menamatkan perkhidmatan dengan penuh rasa bangga dan kesyukuran, meninggalkan legasi yang akan terus dikenang oleh warga UTM

Majlis turut mengenang jasa dua warga UTM yang telah meninggal dunia dengan penganugerahan anumerta kepada Allahyarham Muhomad Arman bin Yim dan Allahyarham Abdul Aziz bin Mohamed.

Lima penerima Anugerah Delima turut dikenali sebagai antara warga kerja paling lama berkhidmat di UTM, antaranya Azmi bin Mat Zin (Jabatan Canseleri), Esam@Hisham bin Muhammad (Jabatan Perpustakaan), Jaafar bin Rusmin dan Tajudin Kamari (Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan), serta Azmi bin Abu Bakar dan Zulkffli bin Che Embong masing-masing dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi.

Antara barisan penerima Anugerah Delima yang sempat ditemui hari ini

Majlis Sanjungan Budi bukan sekadar acara penghargaan, malah menjadi platform memperkukuh silaturahim serta membina semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti kampus ke arah kecemerlangan berterusan.

Explore More