JOHOR BAHRU, 18 Jun – Eco-Park Universiti Teknologi Malaysia atau UTM Eco-Park merupakan inisiatif lestari yang berfungsi sebagai tapak penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pertanian bandar, pengurusan sisa dan teknologi hijau sekali gus menjadi pemangkin bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian moden.
Ketua Projek Fertigasi UTM Eco-Park, Dr. Alafiza Yunus berkata lima projek utama dijalankan di situ iaitu fertigasi, kompos, akuaponik, biogas dan Pejabat Pintar (Smart Office). Smart Office di Eco-Park membangunkan sistem mikrogrid yang dilengkapi panel solar dan sistem pemantauan digital.
“Tenaga elektrik yang dijana dari sumber tenaga matahari (solar) digunakan untuk keperluan sendiri serta menyokong operasi seperti di tapak akuaponik. Penggunaan tenaga hijau ini menyumbang kepada objektif kelestarian dan pengurangan jejak karbon kampus.
“Plot fertigasi pula dilengkapi dengan Rumah Perlindungan Hujan (RPH) bersaiz 40’ x 40’. Sistem ini turut mempunyai sistem siraman dan bancuhan baja automatik serta pemantauan berasaskan teknologi ‘Internet of Things’ atau IoT.


Selain itu, terdapat sistem tangki penyimpanan air hujan yang mampu menyokong sehingga 200 plot penanaman,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCCS) sempena ‘Sustainable Gastronomy Day’ 2025 yang disambut secara global pada 18 Jun setiap tahun.
Sambutan hari Istimewa ini dikhususkan bagi mempromosikan dan membudayakan amalan penghasilan makanan yang lestari serta bebas dari pencemaran bahan kimia yang membahayakan kesihatan.
Tapak ini menjadi showcase bagi aktiviti penyelidikan berasaskan pertanian yang diterajui oleh dua penyelidik utama iaitu Dr. Nor Alafiza Yunus dan Dr. Norfhairna Baharulrazi.
Antara fokus kajian yang dijalankan di UTM Eco-Farm termasuk formulasi baja kimia, biochar slow-release fertiliser, baja cecair organik seperti foliar daripada sisa makanan serta media tanaman dan kompos daripada bahan buangan seperti sisa kelapa sawit, sekam padi bakar, sisa makanan, tinja kuda (melalui kerjasama dengan Pusat Ekuin UTM) dan sisa komersial seperti serbuk kopi.

Selain itu, kajian berkaitan racun organik berasaskan ekstrak tumbuhan juga sedang dijalankan.
“Dua sistem penanaman utama yang digunakan di tapak ini ialah fertigasi dan hidroponik. Kaedah fertigasi digunakan bagi tanaman berbuah manakala hidroponik pula digunakan bagi penanaman sayuran berdaun.
“Jenis sayuran yang ditanam di sini bergantung kepada keperluan kajian. Kebanyakan tanaman adalah sayuran jangka pendek seperti tomato ceri, timun Jepun, kacang panjang, cili, sawi dan salad,” katanya lagi.
Hasil tanaman daripada projek penyelidikan ini tidak dijual secara komersial tetapi diagihkan dan dijual secara dalaman kepada staf dan rakan pejabat sebagai usaha menampung kos operasi harian.

Inisiatif Eco-Park Universiti Teknologi Malaysia (UTM Eco-Park) yang berfokus kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pertanian bandar, pengurusan sisa dan teknologi hijau berkaitan langsung dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Secara khusus, inisiatif ini paling berkaitan dengan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari) kerana ia mempromosikan pembangunan bandar yang lestari dan pengurusan sumber yang efisien di kawasan bandar.
Inisiatif UTM Eco-Park ini juga terkait dengan SDG 12 ( Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab) melalui pengurusan sisa dan teknologi hijau yang mampan dan juga SDG 13 (Perubahan Iklim) kerana penggunaan teknologi hijau dan amalan lestari membantu mengurangkan jejak karbon dan memerangi perubahan iklim.
