June 25, 2025

UTM dan MSC Cyberport perkukuh agenda digital Johor melalui Projek AI dan JS-EZ

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama MSC Cyberport Sdn. Bhd. memeterai jalinan kerjasama menerusi penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memperkasa pembangunan bakat digital serta menyokong aspirasi transformasi digital negeri Johor menerusi kerjasama dalam bidang inovasi, latihan industri dan pemindahan teknologi.

Majlis penandatanganan MoU yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) ini disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dan Ketua Pegawai Eksekutif MSC Cyberport, Ramlee Jaafar serta disaksikan oleh Naib Pengerusi MSC Cyberport, Hj. Md Salikon Sarip dan Pengerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus.

MoU yang ditandatangani tengah hari tadi dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, BCSI UTM Johor Bahru

Melalui pemeteraian ini, UTM dan MSC Cyberport akan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuklah pelaksanaan projek AI Johor sebagai inisiatif negeri memacu pembangunan kecerdasan buatan yang beretika dan lestari, penyertaan dalam pembangunan Johor Startup Enabler Zone (JS-EZ) sebagai ekosistem pemula niaga digital dan penempatan pelajar latihan industri, pensijilan profesional dan program pemindahan teknologi digital di bawah platform kolaboratif bersama industri.

Menurut Prof. Dr. Mohd Shafry, kolaborasi ini adalah bukti komitmen UTM untuk menjadikan universiti sebagai pemangkin kepada ekosistem inovasi Johor dan negara secara amnya.

“Projek AI Johor merupakan inisiatif utama negeri Johor untuk memacu pembangunan teknologi kecerdasan buatan. Projek ini akan menyaksikan penglibatan langsung dari UTM dan Cyberport dalam membangunkan bakat, platform digital, dan penyelidikan terapan yang mendokong transformasi digital Johor,” katanya.

Prof. Dr. Mohd Shafry berharap agar usaha ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak program kolaboratif berimpak tinggi antara UTM dan MSC Cyberport demi masa depan Johor dan negara
Hj. Md Salikon Sarip dalam ucapannya berhasrat agar sinergi ini membawa kejayaan dan kemajuan bersama dengan UTM

Pemeteraian ini selari dengan Pelan Strategik UTM iaitu enVision UTM 2025 dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkukuh hubungan dengan industri digital negara. Ia turut mencerminkan komitmen UTM terhadap aspirasi Malaysia MADANI yang menyeimbangkan kemajuan ekonomi dengan nilai kemanusiaan.

MSC Cyberport pula menyambut baik pemeteraian ini dan melihatnya sebagai peluang penting untuk menyatukan kekuatan akademik dan industri dalam membina tenaga kerja masa hadapan berteraskan teknologi dan pemikiran keusahawanan digital.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Pengarah MSC Cyberport, Nooraini Mohd Nasir; Ketua Pegawai Teknikal MSC Cyberport, Nur Arina Ramlee; Penolong Pengurus MSC Cyberport, Norhafiza Kamarulzaman; serta dekan-dekan fakulti.

Delegasi dari UTM dan MSC Cyberport

Explore More