July 4, 2025

UTM CRC bawa inovasi simenfero log kelulut ke Padang, Indonesia

PADANG, 24 Jun – Seramai 13 orang delegasi dari UTM Construction Research Centre (UTM CRC) telah melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pusat Madu Galo-Galo, Sungai Bangek, Balai Gadang, Padang, Sumatera Barat. Program ini merupakan inisiatif kerjasama antara UTM CRC dan Universitas Bung Hatta (UBH) dalam usaha menyokong pembangunan teknologi simenfero log kelulut kepada komuniti penternak madu tempatan.

Untuk makluman, istilah galo-galo merupakan sebutan tempatan di Padang bagi lebah kelulut (stingless bee) yang menghasilkan madu berkualiti tinggi. Di Malaysia, spesies lebah ini lebih dikenali sebagai kelulut dan semakin popular dalam sektor penternakan serta industri produk hiliran berasaskan bahan semula jadi.

Program CSR ini diketuai oleh Ir. Dr. Nor Hasanah Abdul Shukor Lim, Felo Penyelidik UTM CRC, yang juga mengetuai projek inovasi Simenfero Log Kelulut UTM – iaitu pembangunan log tiruan berasaskan bahan simenfero yang tahan lasak, mampan dan bersesuaian dengan keperluan penternakan kelulut secara moden.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada wakil komuniti serta pihak Universitas Bung Hatta. Komuniti tempatan diwakili oleh Riswandi Rivai, Ketua Kelompok Tani Hutan (KTH) Sahabat Alam Minangkabau, manakala urus tadbir koperasi diketuai oleh Muhammad Zaki, Pengurus KTH Sahabat Alam Minangkabau.

Sesi diteruskan dengan pembentangan ilmiah oleh Pengarah UTM CRC, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman bin Mohd. Sam yang menyampaikan taklimat mengenai konsep dan aplikasi teknologi simenfero dalam pembinaan log kelulut. Beliau menekankan kelebihan bahan ini dari aspek ketahanan cuaca, rintangan terhadap serangan serangga, dan potensinya dalam meningkatkan produktiviti madu serta jangka hayat log berbanding bahan kayu konvensional.

Taklimat teknologi simenfero disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Mohd. Sam kepada komuniti penternak madu galo-galo
Penduduk tempatan memberi perhatian terhadap penjelasan tentang kelebihan simenfero

Aktiviti utama program ialah demonstrasi langsung pembinaan simenfero log kelulut bersama komuniti penternak madu galo-galo. Aktiviti ini berfungsi sebagai platform pemindahan teknologi secara praktikal serta memupuk hubungan dua hala antara penyelidik dan pengusaha tempatan.

Demonstrasi kaedah pembinaan log kelulut menggunakan bahan simenfero
Penduduk mencuba sendiri proses membalut log kelulut dengan bahan simenfero bersama penyelidik UTM

Sebagai penutup, delegasi UTM CRC telah dibawa melawat Koperasi Merah Putih Balai Gadang, yang aktif membangunkan produk hiliran berasaskan madu galo-galo seperti makanan kesihatan dan minuman tradisional. Dalam lawatan ini, satu sesi perbincangan awal turut diadakan bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan produk hiliran, strategi pembungkusan dan pemasaran, serta inisiatif pensijilan untuk pasaran yang lebih luas termasuk eksport.

Program ini mencerminkan komitmen UTM CRC dalam memainkan peranan aktif ke arah pembangunan komuniti lestari melalui inovasi, pemindahan teknologi, dan jalinan kerjasama rentas sempadan. Inisiatif seumpama ini juga memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang penyelidikan serta pemerkasaan industri tempatan.

Sesi perbincangan delegasi UTM bersama ahli Koperasi Merah Putih Balai Gadang mengenai pembangunan produk hiliran madu galo-galo

Explore More