Kesukaran mendapatkan perkhidmatan percetakan ketika pandemik COVID-19 menjadi titik tolak penubuhan PrinTEX, sebuah sistem kiosk pintar yang kini memudahkan ratusan pelajar dan staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapatkan dokumen bercetak secara kendiri, tanpa perlu beratur atau menunggu kedai dibuka.
Dalam era digital yang serba pantas, keperluan terhadap perkhidmatan percetakan yang efisien dan mudah diakses semakin diperlukan, terutamanya dalam kalangan pelajar universiti. Menyedari jurang ini, sekumpulan pelajar UTM mengambil langkah berani mencipta solusi inovatif melalui penubuhan Uninet Technology Enterprise, sebuah startup yang kini mencuri perhatian warga kampus.

Dari pengalaman PKP ke solusi masa hadapan
PrinTEX merupakan hasil usaha tiga pelajar UTM daripada latar belakang teknikal berbeza — Fikri Akmal Aizuddin Bahrim dan Iqmal Aizat Mohd Zamri dari Fakulti Komputeran, manakala Low Lie Xin pula dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik. Mereka menyatukan kepakaran untuk membangunkan sistem percetakan automatik berasaskan Internet Pelbagai Benda (Internet of Things, IoT) dan pembayaran digital.
Inspirasi menubuhkan syarikat ini hadir daripada pengalaman sendiri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila salah seorang pengasas terpaksa pergi ke kedai cetakan dengan jarak jauh semata-mata untuk mencetak tugasan, namun setibanya di sana, kedai tidak dibuka. Kekangan masa, lokasi dan operasi kedai cetakan yang terbatas mencetuskan idea untuk membangunkan satu sistem yang membolehkan pelajar mencetak dokumen pada bila-bila masa, tanpa perlu bergantung kepada kedai fizikal.
Hasilnya, PrinTEX, sebuah sistem kiosk percetakan kendiri beroperasi 24 jam yang kini menjadi penyelamat ramai pelajar dalam urusan mencetak bahan akademik.
“Melalui aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun dari App Store dan Google Play Store, pengguna boleh memuat naik dokumen, membuat pembayaran, dan mendapatkan cetakan mereka tanpa perlu berinteraksi dengan operator manusia. Semua dilakukan secara on-demand,” ujar Fikri Akmal.

Sokongan dan pengembangan
Uninet Technology Enterprise bukan berdiri sendiri. Ia mendapat sokongan padu daripada Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi UTM (UTM XCITE) yang menyediakan bimbingan dalam pembangunan produk, strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan melalui program seperti Hackathon. Inisiatif ini juga memperoleh geran UTM–MTDC (Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia) Signature bernilai RM20,000, yang digunakan untuk membangunkan beberapa unit kiosk PrinTEX.
Kini, tiga kiosk utama telah beroperasi di mana dua kiosk berada di dalam UTM, iaitu di Bilik Belajar 24 Jam di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) dan Arked Lestari Kolej 9 & 10 manakala kiosk ketiga terletak di luar Johor, iaitu di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya, Selangor.
“Kami letak kiosk pertama di Fakulti Komputeran, kemudian beralih ke lokasi strategik seperti Arked Lestari kerana tiada kedai percetakan di situ. Permintaan meningkat kerana ia beroperasi 24 jam dan sangat memudahkan pelajar,” tambah Fikri.


Operasi dan ciri-ciri teknologi
Setiap kiosk PrinTEX lengkap dengan SIM kad dan modem sendiri, menjadikannya tidak bergantung kepada sambungan internet kampus. Ia turut dilengkapi sistem pintar untuk mengesan status kertas, paras dakwat, dan masalah teknikal seperti kertas tersangkut. Sebaik sahaja masalah dikesan, notifikasi akan dihantar secara automatik kepada runner yang kebanyakannya dalam kalangan pelajar juga — untuk tindakan segera.
“Kami ada sistem pengiraan kertas, boleh tahu kadar penggunaan semasa dan pantau keperluan pengisian. Operasi kami turut dibantu dua pelajar lain dalam pengurusan teknikal dan logistik,” jelas Fikri lagi.
Dari sudut pengguna, proses cetakan hanya memerlukan beberapa minit sahaja. Bayaran pula dilakukan secara automatik mengikut kadar, RM0.20 untuk cetakan hitam putih, RM0.45 untuk berwarna, dan RM0.10 sebagai caj platform. Apa yang diperlukan hanyalah baki mencukupi dalam dompet digital pengguna.

Walaupun margin keuntungan tidak begitu tinggi kerana faktor kos sewaan, internet, perisian dan penyelenggaraan, mereka percaya impak sosial kepada komuniti kampus jauh lebih besar. Tambahan pula, pelanggan PrinTEX bukan sahaja terdiri daripada pelajar, malah pensyarah dan staf UTM juga menggunakan perkhidmatan ini.
Langkah ke arah percetakan lebih pintar
Melangkah ke hadapan, Uninet bercadang untuk menaik taraf PrinTEX dengan menambah fungsi kecerdasan buatan (AI) dalam pengecaman dokumen. Ini termasuk cetakan automatik kad pengenalan (IC) dengan format tersuai serta penyediaan format cetakan khas secara automatik.
Mereka juga merancang memperluas operasi ke lokasi seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), hospital, dan kawasan berimpak tinggi lain. Tidak cukup dengan itu, rancangan masa depan turut melibatkan pembangunan ke arah percetakan 3D, pelbagai saiz kertas, serta pilihan kualiti cetakan yang lebih tinggi.
Nasihat kepada pelajar yang ingin mencuba
“Kepada pelajar yang ingin memulakan startup, jangan terlalu fokus pada kekangan. Mulakan dahulu, cari rakan sepasukan yang sehaluan, dan terus bina produk hingga berjaya,” pesan Fikri menutup temu bual.
Uninet Technology Enterprise merupakan contoh cemerlang bagaimana pelajar universiti boleh mengenal pasti masalah sebenar dalam komuniti mereka dan mencipta penyelesaian inovatif yang memberi impak positif. Dengan sokongan institusi seperti UTM XCITE dan semangat keusahawanan yang tinggi, mereka telah membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta perubahan besar dalam masyarakat.