July 3, 2025

TERRATECH perkasa pembelajaran luar kelas pelajar berasaskan kelestarian

JOHOR BAHRU, 15 Jun – Kelab Smartcamp di bawah naungan Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menganjurkan program berasaskan STEM dan kelestarian alam sekitar bertajuk TERRATECH di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda serta Laman Bakau Parit Kassim pada 14 dan 15 Jun 2025.

Program TERRATECH merupakan inisiatif peringkat daerah Johor Bahru yang melibatkan penyertaan lima buah sekolah iaitu SMK Bandar Baru UDA selaku tuan rumah, SMK Mutiara Rini, SMK Taman Universiti 2, SMK Bandar UDA Utama dan SMK Sultan Ismail.

Kolaborasi erat antara Kelab Smartcamp dan SMK Bandar Baru UDA bertujuan mendedahkan pelajar sekolah kepada pendekatan STEM yang berteraskan alam sekitar serta kelestarian melalui modul pembelajaran luar kelas. Pada masa yang sama, mahasiswa dan mahasiswi UTM berpeluang mengasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi sebagai fasilitator.

Program ini berjaya menghimpunkan seramai 52 orang pelajar Tingkatan Tiga dari lima buah sekolah dan dibimbing oleh 41 orang fasilitator UTM di bawah pimpinan Penasihat Program TERRATECH, Ir. Ts. Dr. Aizat Azmi. Unit Modul TERRATECH telah mereka bentuk modul pembelajaran yang memfokuskan kepada elemen kreatif dan inovatif, selari dengan niche area Kolej Tuanku Canselor.

Pada 14 Jun, program dimulakan dengan aktiviti suai kenal, ice-breaking dan pre-kuiz bagi membina keselesaan peserta bersama fasilitator dalam suasana ceria dan santai. Modul pertama, RocketXplorer, memberi peluang kepada peserta mereka cipta roket belon dan melancarkannya sebagai simbol daya saing sihat dan semangat berpasukan.

Sesi mereka cipta roket belon dalam kumpulan
Sesi perlumbaan roket belon

Seterusnya, modul The 80th mencabar pelajar untuk membina jambatan sepanjang 80cm menggunakan batang aiskrim. Aktiviti ini bukan sahaja mencabar kreativiti peserta, tetapi turut melatih kemahiran komunikasi dan kerjasama dalam mereka bentuk struktur jambatan yang kukuh.

Sesi pembinaan jambatan dalam kumpulan

Modul ketiga, Why Is It So Hot?, memberi kesedaran kepada pelajar mengenai isu pelepasan karbon. Pelajar dikehendaki menjawab soalan berkaitan pengiraan pelepasan karbon di satu pelan pembangunan, seterusnya menampal pelekat sebagai simbol pokok untuk menunjukkan cara mengimbangi karbon. Persembahan dilakukan melalui sesi gallery walk.

Sesi menjawab soalan berkaitan pelepasan karbon.
Sesi menjawab soalan berkaitan pelepasan karbon

Modul terakhir, 39 SC, yang bermaksud “Thank You Smartcamp”, merupakan aktiviti explorace dengan empat checkpoint bertemakan memory glyph. Aktiviti ini bertujuan meningkatkan fokus, daya ingatan serta kemahiran berfikir secara kritis dalam suasana yang menyeronokkan.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Bandar Baru UDA, En. Mohamed Khairul Mohamed Amin, dan disaksikan oleh Ir. Ts. Dr. Aizat bin Azmi selaku Penasihat Program, bersama Penolong Kanan Kokurikulum SMK Bandar Baru UDA, Puan Sharifah Zulaiha Syed Zain serta semua warga sekolah dan fasilitator yang terlibat.

Dalam ucapan beliau, En. Mohamed Khairul menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas pelaksanaan program yang memberi manfaat besar kepada pelajar. Beliau turut menyatakan harapan agar lebih banyak program berimpak seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang.

Pada keesokan harinya, 15 Jun, seramai 41 orang krew TERRATECH bersama felow penasihat dan pembantu felow telah melawat Laman Bakau Parit Kassim, Muar. Sebanyak 160 anak pokok bakau berjaya ditanam dalam kawasan pemulihan paya bakau sebagai usaha konservasi alam sekitar.

Krew menyemai benih pokok bakau dalam plastik semaian atau dikenali sebagai tabung

Keseluruhannya, program TERRATECH bukan sahaja berjaya menyemai semangat cintakan alam dan minat terhadap bidang STEM dalam kalangan pelajar, malah turut membentuk sahsiah serta kesedaran sivik dalam kalangan mahasiswa UTM. Inisiatif ini merupakan langkah awal ke arah membina generasi pelajar yang celik sains, beretika dan bertanggungjawab terhadap masa depan planet ini.

Explore More