June 12, 2025

MIDLAND, TEXAS, 12 Jun – Sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melancarkan roket buatan sendiri, “RIMAU-1”, dalam pertandingan bertaraf antarabangsa, International Rocket Engineering Competition (IREC) 2025 yang kini berlangsung di Midland, Texas, Amerika Syarikat.

Kejayaan ini menjadikan UTM pasukan pertama dari Malaysia yang layak ke peringkat akhir pertandingan berprestij yang dianjurkan oleh Tripoli Rocketry Association yang berlangsung selama enam hari sehingga 14 Jun ini, sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

Pasukan dikenali sebagai UTM Rocketry Team itu diketuai oleh pelajar tahun akhir dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, T.K. Arykummara, bersama barisan utama yang terdiri daripada Brenden Huang Hong Quan, K. Raahull, Izzat Idlan Amir Raslan dan S.N. Shivee Prakkaash. Mereka mewakili gabungan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan  juga Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

RIMAU-1 bersedia di tapak pelancaran roket sempena IREC 2025

“Penyertaan ini bukan sekadar satu pertandingan, tetapi lambang semangat inovasi, daya juang dan kerjasama pasukan kami yang membawa semangat Malaysia ke pentas antarabangsa,” kata Arykummara.

Roket dinamakan RIMAU-1, setinggi 2.8 meter dan seberat 28 kilogram ini, dibina menggunakan bahan gentian kaca serta karbon, dijangka mampu mencapai ketinggian maksimum sehingga 3,000 meter, selaras dengan syarat ketinggian yang ditetapkan oleh penganjur.

Roket RIMAU-1 buatan tangan ini dibangunkan selama lebih sembilan bulan secara keseluruhannya hasil kerja berpasukan yang terdiri daripada 40 orang, merangkumi pelbagai disiplin teknikal. Projek itu mula diuji secara awal pada Januari lalu dan hanya diusahakan secara serius  bermula Mac, dengan tempoh pembinaan intensif selama dua bulan.

Pasukan UTM Rocketry ke Texas, terdiri daripada Umesh Devadas, Ong Li Bin, Raahull Kumaresan, Julian Chee, Ts.Dr. Ahmad Humaizi Rozaini, Tahir Mahzar, Mohammed Sabri (dari kiri baris belakang). Manakala Youssef Shahin, Nik Danish, Brenden Huang, Arykummara, Waali Zargar, Shivee Prakkaash (dari kiri baris hadapan)

Menariknya, pasukan ini turut menghasilkan sendiri sistem payung terjun roket sebagai langkah keselamatan, selain menggunakan ‘ammonium perchlorate’ sebagai sistem pendorong utama bagi mencapai ketinggian sasaran setinggi 3,000 meter di ruang udara Texas.

Kos keseluruhan pembinaan Rimau-1 dianggarkan sebanyak RM40,000, manakala kos penuh termasuk perjalanan dan logistik mencecah RM200,000. Projek ini mendapat sokongan dan bantuan kewangan daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEPA), UTM International (UTMI) dan beberapa sumber lain.

Menurut Arykummara, proses pembinaan roket bukan sekadar penggabungan komponen, tetapi melibatkan penyelidikan intensif, pengujian berulang, serta ketelitian dalam setiap aspek teknikal dan keselamatan.

IREC 2025 menghimpunkan lebih 7,000 pelajar daripada 172 institusi pengajian tinggi seluruh dunia, dengan hanya 176 pasukan terpilih untuk bertanding di peringkat akhir. Kehadiran pasukan UTM secara rasmi meletakkan Malaysia setaraf dengan universiti ternama lain dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam satu kenyataan menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti keupayaan pelajar UTM bersaing di peringkat global dan menyerlahkan kualiti pendidikan tinggi negara.

“Kami amat berbangga dengan kejayaan ini dan berharap ia menjadi inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk terus berani mencabar diri dan berinovasi dalam bidang teknologi dan sains angkasa,” katanya.

Pasukan UTM Rocketry kini menanti keputusan akhir  bersamanya semangat dan harapan seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi antara yang terbaik dalam pertandingan ini.

Explore More