JOHOR BAHRU, 26 Jun – Majlis penyerahan rasmi satu projek penyelidikan telah berlangsung hari ini, menandakan permulaan kerjasama strategik antara Enpro Energy Sdn. Bhd. dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Majlis ini menjadi simbolik kepada penyerahan projek bertajuk Battery Energy Storage System (BESS) 101 kWh Energy Peak Shaving Proof of Concept daripada rakan industri kepada Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTM.
Bertempat di FKE, UTM Johor Bahru, majlis anjuran Pusat Sistem Tenaga Elektrik (CEES) UTM telah dihadiri oleh wakil pengurusan Enpro Energy, pengurusan tertinggi FKE, penyelidik CEES, dan juga pemain industri dalam bidang tenaga. Enpro Energy telah menaja sepenuhnya pemasangan BESS berkapasiti 101 kWh di bangunan P19a FKE, UTM Johor Bahru dengan matlamat untuk menjadikan BESS sebagai fasiliti bagi aktiviti penyelidikan berbentuk praktikal yang akan dimanfaatkan oleh penyelidik dan pelajar UTM.

CEES merupakan pusat penyelidikan yang memfokuskan kepada kajian dan pembangunan dalam bidang sistem kuasa, tenaga pintar, penyimpanan tenaga, grid masa hadapan, dan tenaga boleh baharu. CEES juga aktif menjalinkan kerjasama bersama industri bagi memperkukuh impak penyelidikan secara langsung kepada pembangunan sektor tenaga negara.
Projek BESS tersebut memperlihat peranan strategik CEES sebagai pemacu utama dalam penyelidikan sistem penyimpanan tenaga elektrik yang mampu menghubung penyelidikan akademik dengan penyelesaian praktikal berskala industri. Pemasangan sistem BESS tersebut juga membolehkan kajian bersifat ‘real-time’ dijalankan secara lebih mendalam oleh para penyelidik dan pelajar dari bidang kejuruteraan tenaga elektrik.
Majlis telah menyaksikan penyerahan projek tersebut secara simbolik oleh Pengarah Urusan Enpro Energy, Eric Lee kepada Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FKE, Prof. Syed Abdul Rahman Syed Abu Bakar, diiringi Pengarah CEES. Ketua projek tersebut iaitu Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian, Felo Penyelidik CEES, dan rakan penyelidik beliau, Ts. Dr. Zulkarnain Ahmad Noorden turut menyampaikan sesi perkongsian khas mengenai BESS kepada jemputan bersempena dengan majlis tersebut.

Kerjasama penyelidikan ini dijangka dapat memperkukuh kecemerlangan penyelidikan UTM dalam bidang tenaga dan seterusnya menyumbang kepada inisiatif negara untuk menyasarkan penggunaan tenaga boleh baharu sebanyak 70% menjelang 2050 seperti yang termaktub dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Selain membuka ruang penerokaan teknologi penyimpanan tenaga di peringkat universiti, kerjasama ini dijangka mampu menjadi model rujukan kepada pemain industri dan agensi kerajaan dalam merangka strategi transisi tenaga negara yang lestari. Dengan kepakaran CEES dalam bidang grid pintar dan penyimpanan tenaga, projek ini berpotensi menjadi pemangkin kepada projek perintis BESS berskala lebih besar di seluruh negara.


Sebagai penutup majlis, satu sesi lawatan tapak BESS telah diadakan ke tapak pemasangan BESS 101 kWh di bangunan P19a FKE dan Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik (EV) berhampiran bangunan P07 FKE bagi memberi gambaran praktikal aplikasi BESS kepada para jemputan.
Usaha ini menandakan komitmen berterusan UTM, khususnya CEES dan FKE, dalam mendukung agenda penyelidikan berimpak tinggi yang bersandarkan teknologi hijau, seterusnya mengukuhkan kedudukan universiti sebagai peneraju dalam bidang tenaga elektrik dan penyimpanan pintar di peringkat nasional dan antarabangsa.
