June 15, 2025

Power Inverter UTM inovasi lestari pengganti generator konvensional

Suasana pasar malam yang selama ini sinonim dengan deruman enjin dan bau asap daripada generator minyak kini berpotensi berubah secara menyeluruh melalui penghasilan Power Inverter, sebuah inovasi lestari hasil ciptaan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang menawarkan alternatif tenaga hijau yang lebih senyap, bersih dan menjimatkan.

Inisiatif ini diketuai oleh Dr. Nur Faizal Kasri, Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTM, yang mengangkat realiti peniaga pasar malam sebagai inspirasi utama dalam pembangunan teknologi ini.

“Objektif utama penghasilan Power Inverter ini adalah untuk mempromosikan penggunaan tenaga hijau di pasar malam. Kebanyakan pasar malam menghasilkan karbon melalui penggunaan generator minyak, jadi bila karbon tinggi, suasana jadi tidak sihat untuk pengunjung,” ujar beliau.

Diilhamkan dari lapangan, direalisasi oleh komuniti

Ilham inovasi ini datang daripada pemerhatian lapangan terhadap kebergantungan peniaga kepada generator untuk menghidupkan lampu, kipas dan peralatan asas lain di gerai. Selain memakan kos bahan api harian, penggunaan generator turut menyumbang kepada pencemaran bunyi dan pelepasan karbon yang tidak lestari di kawasan padat pengunjung.

Dengan sokongan geran komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 4.0 (IPRK 4.0) sebanyak RM20,000, projek ini direalisasikan melalui kerjasama bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Dana tersebut digunakan untuk membina 20 unit Power Inverter lengkap dengan bateri dan pengecas, yang kemudiannya diagihkan secara percuma kepada peniaga terpilih.

Spesifikasi teknologi

Sebelum pelaksanaan projek, pasukan penyelidik menjalankan kajian lapangan bersama peniaga pasar malam untuk memahami keperluan sebenar. Berdasarkan dapatan, Power Inverter ini direka khas untuk disesuaikan dengan penggunaan elektrik rendah seperti lampu dan kipas.

Teknologinya menggunakan bateri boleh cas semula selama 8 jam pada waktu siang, dan mampu menyokong operasi gerai selama 4 jam dengan beban tidak melebihi 100 watt. Sistem inverter ini menukarkan arus terus (DC) kepada arus ulang-alik (AC) menggunakan teknologi gelombang tulen (pure sine wave) — pilihan yang lebih stabil dan selamat bagi peralatan elektrik sensitif seperti motor dan lampu LED.

“Reka bentuk inverter dilengkapi dengan paparan voltan, soket AC dan port USB 10 watt. Terdapat hanya tiga suis utama, jadi mesra pengguna dan mudah dikendalikan peniaga,” tambah Dr. Faizal.

Dr. Nur Faizal ketika mengoperasikan Power Inverter yang disambung pada bateri yang dicas penuh
Reka bentuk ringkas Power Inverter dengan tiga suis utama dan paparan voltan mesra pengguna

Implikasi alam sekitar dan penjimatan kos operasi

Aspek kelestarian menjadi tunjang kepada pembangunan Power Inverter ini. Melalui perkiraan lapangan, seorang peniaga yang menggunakan dua liter minyak sehari menghasilkan kira-kira 4.5 kg karbon dioksida (CO₂). Sekiranya terdapat 10 peniaga, jumlahnya mencecah 45–50 kg karbon setiap malam.

“Dengan Power Inverter, pelepasan karbon dapat dikurangkan hampir 95%. Dari segi kos, peniaga yang sebelum ini membelanjakan RM5 sehari untuk minyak hanya memerlukan sekitar 40 sen untuk mengecas bateri,” ujar beliau.

Kaedah pemilihan peniaga dan respons lapangan

Pemilihan peniaga dibuat bersama MBIP dengan kriteria utama, beban elektrik rendah tidak melebihi 100 watt, mencukupi untuk sekitar 10 biji lampu LED.

Sebelum agihan unit, kajian semula turut dilakukan untuk mengukur beban sebenar di lapangan. Maklum balas awal daripada pengguna amat positif. Seorang peniaga, Ismail, memuji keupayaan sistem yang senyap dan tidak berasap, sambil mencadangkan reka bentuk lebih ringan dan penggunaan bateri lithium-ion.

“Respon peniaga sangat positif. Mereka bukan sahaja menghargai penjimatan kos, malah menyarankan penambahbaikan dari segi mobiliti,” kata Dr. Faizal.

Sesi penyerahan Power Inverter oleh Dr. Nur Faizal kepada peniaga pasar malam terpilih

Menuju generasi kedua

Melihat sambutan memberangsangkan, pasukan kini sedang membangunkan generasi kedua Power Inverter yang bakal hadir dengan reka bentuk lebih ringan, moden, dan berteknologi tinggi. Ia akan menggunakan bateri terbina dalam dan diintegrasikan dengan Internet Pelbagai Benda (Internet of Things, IoT).

“Versi seterusnya akan dilengkapi aplikasi Android dan iOS, serta dashboard digital untuk memantau jumlah karbon yang berjaya dikurangkan secara masa nyata. Reka bentuknya pula seakan beg bagasi, mudah dibawa ke mana-mana,” jelas beliau.

MBIP turut menyokong fasa ini dengan tambahan dana RM50,000, membuka potensi kerjasama lebih luas termasuk aspek paten, pensijilan SIRIM, dan pengeluaran berskala industri.

Dr. Faizal ketika ditemu bual berkenaan potensi komersial Power Inverter

Potensi penggunaan lebih luas

Walaupun dibangunkan untuk peniaga pasar malam, Power Inverter berpotensi besar dikembangkan ke sektor lain seperti aktiviti perkhemahan dan rekreasi luar, pemancing dan petani kawasan luar bandar, pasukan keselamatan di kawasan bencana serta operasi luar pesisir yang memerlukan bekalan kuasa mudah alih dan senyap.

Produk ini juga boleh diubah suai mengikut permintaan — dari 100 watt sehingga 1.5 kilowatt — bergantung kepada sektor pengguna.

Harapan masa depan dan komersialisasi

Melangkah ke fasa seterusnya, pasukan kini dalam proses memohon perlindungan harta intelek (IP) dan memastikan sistem ini memenuhi standard keselamatan nasional sebelum dipasarkan secara rasmi. Walaupun kos pengeluaran kecil-kecilan masih tinggi (sekitar RM700 seunit), mereka yakin bahawa kos boleh diturunkan melalui penghasilan secara besar-besaran.

“Jika inovasi ini diterima pakai oleh pihak berkuasa tempatan sebagai sebahagian dasar Bandar Rendah Karbon, impaknya amat besar,” ujar Dr. Faizal.

Dr. Faizal bersama pasukan penyelidik UTM yang membangunkan Power Inverter sejak peringkat awal

Inovasi yang membantu masyarakat

Power Inverter bukan sekadar produk teknologi, tetapi cerminan komitmen penyelidik UTM dalam menyelesaikan masalah sebenar rakyat. Ia membuktikan bagaimana inovasi akademik boleh memberikan impak nyata terhadap kesejahteraan masyarakat, menjimatkan kos, memelihara alam sekitar dan mendokong ekonomi hijau negara.

Dengan semangat kejuruteraan untuk kemanusiaan, Power Inverter membawa harapan baru kepada kelestarian pasar malam — dari deruman generator kepada keheningan teknologi.

Explore More