KULAI, 15 Jun – Karnival Hari Meriah Orang Kampung, sebuah Karnival anjuran mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Islam) tahun akhir, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama bersama Sekretariat Rukun Negara (SRN) UTM. Karnival ini berbentuk pengisian kursus dengan penglibatan komuniti yang bertujuan memupuk nilai kemasyarakatan dan penghayatan budaya tempatan.
Penganjuran ini diterajui oleh pelajar di bawah bimbingan rasmi En. Shahrin Hashim selaku penasihat program dan telah disokong oleh Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM. Program ini telah dilaksanakan dengan kerjasama erat bersama pemimpin komuniti setempat termasuk Parlimen Kulai, ADUN Bukit Batu, serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Kelapa Sawit.
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 13 hingga 15 Jun 2025 ini telah diadakan di Balai Raya Rumah Awam Kelapa Sawit, Kulai, Johor. Seramai 38 orang mahasiswa UTM telah menyertai program sebagai fasilitator dan berjaya berganding bahu bersama lebih 100 orang penduduk kampung dalam pelbagai aktiviti berbentuk interaktif, kebudayaan, kesihatan dan kerohanian.
Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk merapatkan jurang antara institusi pengajian tinggi dan komuniti luar bandar melalui pendekatan santai dan berimpak tinggi. Selain itu, ia bertujuan menyemarakkan semula elemen tradisi kampung, memperkukuh nilai gotong-royong, dan menyemai rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Persiapan program dimulakan sebulan lebih awal dengan pelbagai sesi libat urus bersama agensi dan kepimpinan komuniti setempat bagi menjamin kelancaran dan pengisian yang bersifat menyeluruh.
Pelbagai segmen menarik telah dilaksanakan sepanjang karnival, antaranya Borak Santai Kopitiam bersama pemimpin tempatan yang menjadi platform wacana komuniti, pertandingan gubahan buah dan mewarna kanak-kanak yang mencungkil kreativiti dan bakat, serta sukan rakyat yang menghidupkan kembali permainan tradisional seperti boling kelapa, capteh, batu seremban dan gasing. Aktiviti Rewang Komuniti pula menjadi ruang gotong-royong penyediaan makanan tradisional secara bersama, menyemarakkan nilai kebersamaan dalam suasana santai dan harmoni.


Pada waktu malam, pengisian rohani turut diberikan melalui Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh penceramah jemputan UTM, diikuti dengan Malam Kebudayaan Retro yang mempamerkan bakat nyanyian peserta dalam suasana penuh nostalgia. Hari terakhir program diserikan dengan sesi J-Robik dan Lenggang Kampung: Walk with Sarong, iaitu senamrobik serta berjalan santai sejauh tiga kilometer bersama komuniti kampung sambil mengenakan pakaian berunsurkan kain sarung sebagai simbol pemeliharaan warisan budaya.

Menariknya, program ini turut memperkenal elemen ‘Transfer of Knowledge’ melalui Pameran Replika Sirah yang memaparkan secara visual dan interaktif lima siri peperangan utama dalam sejarah Rasulullah SAW, iaitu Perang Badar, Uhud, Khandak, Khaibar dan Hunain. Pameran ini menyediakan latar belakang sejarah, strategi peperangan dan susun atur medan perang secara kreatif dan informatif, sekali gus menjadi medium penyampaian ilmu sejarah Islam yang berkesan kepada pengunjung pelbagai lapisan umur.

Dari sudut pembangunan pelajar, program ini memberi pendedahan kepada mahasiswa UTM untuk mempraktikkan kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, kepimpinan, pengurusan acara dan empati sosial. Penglibatan secara langsung bersama komuniti luar bandar turut membentuk kematangan dan kesediaan mereka sebagai bakal graduan yang peka terhadap keperluan masyarakat.

Secara keseluruhan, Karnival Hari Meriah Orang Kampung telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Maklum balas positif daripada komuniti setempat jelas menunjukkan bahawa penganjuran seperti ini amat dialu-alukan dan wajar diteruskan pada masa akan datang. Ia bukan sahaja menyemai nilai murni dalam jiwa mahasiswa dan masyarakat, malah mewujudkan sinergi yang kukuh antara universiti dan komuniti demi pembangunan sosial yang inklusif dan lestari.