June 20, 2025

Fish to Feed 2025 bukti kepedulian mahasiswa terhadap ancaman ekosistem sungai

KULAI, 14 JUN – Program Fish to Feed 2025 anjuran Biro Kelestarian, Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Hussein Onn (JKP KTHO 2024/2025) dengan kerjasama Kelab MAGROTECH KTHO telah berjaya dianjurkan pada 15 Jun 2025 bertempat di Balairaya Komuniti Kampung Pertanian, Kulai, Johor. Penganjuran program ini bertujuan memperkasa kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar melalui pendekatan pengurusan spesies invasif serta memperkenalkan potensi penghasilan makanan ternakan berasaskan sumber semula jadi seperti ikan bandaraya.

Perasmian Program Fish to Feed sebagai simbol permulaan usaha kelestarian bersama komuniti
Perasmian Program Fish to Feed sebagai simbol permulaan usaha kelestarian bersama komuniti

Program ini telah menghimpunkan lebih 90 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, staf universiti, komuniti kampung serta wakil-wakil daripada agensi luar. Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik sebagai sesi pemanas badan yang turut memeriahkan suasana pagi. Seterusnya, peserta mengikuti beberapa sesi taklimat bermula dengan perkongsian daripada wakil Jabatan Perikanan mengenai spesies ikan invasif dan ancamannya terhadap ekosistem sungai. Taklimat diteruskan oleh Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin yang menjelaskan misi dan objektif utama program ini, diikuti oleh Dr. Mira Panadi yang memberikan penerangan berkaitan proses pemprosesan ikan bandaraya untuk dijadikan makanan haiwan ternakan. Seterusnya, program telah dirasmikan oleh En. Mohd Kamal Ulum Morsin selaku Wakil Rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai.

Sesi taklimat berkaitan ikan invasif dan pemprosesan makanan ternakan
Sesi taklimat berkaitan misi dan objektif program yang disampaikan oleh Dr. Farizal

Setelah selesai sesi taklimat, peserta terlibat dalam aktiviti utama iaitu penangkapan ikan bandaraya secara beramai-ramai di kawasan sungai berdekatan. Aktiviti ini dijalankan dalam suasana penuh semangat kerjasama antara peserta. Sesi penyampaian insentif tunai turut diadakan kepada peserta berdasarkan jumlah tangkapan yang diperoleh sebagai penghargaan atas usaha mereka.

Majlis diteruskan dengan ucapan penutup oleh pihak penganjur dan dirasmikan oleh Puan Nurin Aina, Setiausaha Politik kepada YB Dato’ Dr. Zaliha Mustapha, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), sebelum diakhiri dengan sesi fotografi sebagai kenang-kenangan. Program ini bukan sahaja memberi ilmu berkaitan pemuliharaan sungai dan kelestarian alam, malah mengeratkan hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat.

Peserta berganding bahu menangkap ikan bandaraya di Sungai Skudai
Peserta berganding bahu menangkap ikan bandaraya di Sungai Skudai

Pelaksanaan program ini turut mendapat penyertaan aktif dan sokongan padu daripada komuniti setempat serta beberapa pihak strategik yang menyumbang dari aspek kepakaran, fasiliti dan penajaan. Antara rakan kolaborasi yang terlibat termasuk Jabatan Perikanan Negeri Johor, Sekretariat Rukun Negara UTHM, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pertanian, Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, dan Kelab SymBiosis UTM. Penaja bersama program ialah M&I Technology, Kreatif Lakar Citra, dan Thinker Space (M) Sdn. Bhd. Manakala, Kosmo Digital turut berperanan sebagai rakan media rasmi yang memberikan liputan terhadap pelaksanaan program.

Ikan bandaraya yang berjaya ditangkap bagi tujuan pemuliharaan sungai
Ikan bandaraya yang berjaya ditangkap bagi tujuan pemuliharaan sungai

Sepanjang program dijalankan, sebanyak 160 kilogram ikan bandaraya telah berjaya dikumpulkan. Jumlah ini menunjukkan penurunan ketara berbanding hasil tangkapan yang diperoleh dalam program sebelum ini. Penurunan ini dilihat sebagai satu tanda positif terhadap keberkesanan usaha berterusan dalam mengawal pembiakan spesies ikan invasif di kawasan tersebut serta kejayaan awal dalam memulihkan keseimbangan ekosistem sungai secara berperingkat.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program Fish to Feed 2025. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.

Oleh AJK Media Fish to Feed 2025 (Penulis dan jurufoto)

Explore More