SEDILI KECIL, 14 Jun – Pelajar Kursus Pengurusan Bencana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Program COCONEEM telah menjalin kerjasama strategik bersama syarikat Aliyah Rizq Farm dalam melaksanakan inisiatif komuniti berteraskan kelestarian alam sekitar dan kesedaran bencana. Bertempat di Pusat Komuniti Sedili Kecil, Kota Tinggi, Johor, program ini menghimpunkan penglibatan pelajar dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Sedili Kecil, bersama-sama komuniti setempat dalam satu usaha holistik memupuk budaya lestari.
Program ini bertujuan untuk membantu penduduk setempat menjana sumber ekonomi yang stabil melalui penanaman dan penghasilan biji benih pokok kelapa, di samping mewujudkan sumber makanan menerusi penanaman flora seperti kelapa dan semambu (neem). Selain itu, program ini turut menggalakkan konsep kelestarian jangka panjang yang boleh diteruskan dan diperluaskan ke kawasan komuniti lain.
Objektif program turut merangkumi usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan komuniti mengenai kepentingan tumbuh-tumbuhan dalam mengurangkan risiko bencana. Pada masa sama, program ini menjadi platform kepada pelajar UTM untuk menerapkan teori yang dipelajari dalam kelas ke dalam situasi sebenar, khususnya dalam aspek pengurusan bencana dan kelestarian alam.

Antara sorotan utama program ialah demonstrasi teknik penanaman kelapa dan semambu yang dikendalikan oleh Encik Balathandautham TAM dari Aliyah Rizq Farm. Syarikat tersebut turut bertindak sebagai penaja utama dengan menyumbangkan kesemua anak pokok yang ditanam. Sokongan tambahan turut diberikan oleh Water Revelation Sdn. Bhd. yang memastikan peserta sentiasa terhidrasi sepanjang program berlangsung.
Aktiviti penanaman melibatkan pelajar UTM, para guru dan murid dari Sekolah Kebangsaan Sedili Kecil, ahli komuniti setempat serta wakil syarikat. Sebanyak 50 anak pokok kelapa dan neem berjaya ditanam sepanjang Jalan Siakap 1, berhampiran Pusat Komuniti Sedili Kecil, sebagai simbol komitmen kolektif terhadap kelestarian jangka panjang.

Selain aktiviti lapangan, program turut mengetengahkan bengkel mini bertajuk “Ada Apa Dalam Beg Kecemasan?” yang memberi pendedahan kepada pelajar sekolah tentang keperluan asas dalam menghadapi situasi kecemasan dan bencana. Bengkel ini dilengkapi dengan aktiviti interaktif seperti “Doodle and Hunt” – di mana pelajar mewarna dan mengenal pasti item penting dalam beg kecemasan, serta permainan komunikasi “Radio Rosak” yang memupuk kerjasama dan kefahaman antara pelajar UTM dan murid sekolah.

Program COCONEEM bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan persediaan menghadapi bencana, malah turut mewujudkan ruang pembelajaran luar bilik darjah yang memberi nilai tambah kepada pelajar sekolah. Pendekatan inklusif ini memperlihatkan komitmen berterusan UTM dalam mendukung aspirasi sebagai universiti yang memacu pembangunan mampan melalui jalinan erat bersama komuniti.