SABAH, 11 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terbaik di negara ini apabila mencatat pencapaian 100 peratus kadar kebolehpasaran graduan menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) bagi tahun 2024.
Atas kejayaan itu, UTM telah dianugerahkan Anugerah Kadar Bekerja Graduan SKPG dalam Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan IPTA 2024 yang berlangsung pada 11 Mei 2025 di Hyatt Regency Kota Kinabalu, Sabah. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa kepada Dr. Suhaila Mohamad Yusuf, Pengarah Pusat Kerjaya UTM (UTMCC).

Majlis anugerah ini merupakan sebahagian daripada Bengkel Analisis Data Kebolehpasaran Graduan IPTA, yang diadakan buat pertama kali oleh KPT bermula 9 hingga 12 Mei 2025. Penganjuran ini bertujuan mengiktiraf dan menghargai usaha berterusan yang digerakkan oleh Pusat Kerjaya Universiti Awam, Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti dalam memperkasa kebolehpasaran graduan.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima Anugerah Kadar Bekerja Graduan SKPG 100% bagi tahun 2024, susulan pencapaian cemerlang dalam Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). UTM mencatatkan kadar 100% bagi Kadar Bekerja Graduan (Graduate Employability – GE) dan Kadar Kebolehpasaran Graduan (Graduate Marketability – GM), mengatasi purata kebangsaan 92.5% untuk GE.
Kejayaan UTM mencatat kadar kebolehpasaran graduan 100% bagi kategori Graduan Employable (GE) dan Graduan Marketable (GM) menjadi bukti kepada komitmen menyeluruh universiti dalam menyediakan graduan yang bersedia menempuh alam kerjaya. Pencapaian ini sekali gus meletakkan UTM sebaris dengan universiti terkemuka negara dalam aspek penempatan graduan ke dalam pasaran pekerjaan.
Menurut Dr. Suhaila, pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan tertinggi UTM, fakulti-fakulti, serta semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang secara kolektif menyumbang kepada ekosistem sokongan kerjaya mahasiswa. Selain penyediaan program bimbingan kerjaya, jaringan industri yang kukuh, serta sistem pemantauan bersepadu telah menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Kejayaan ini mencerminkan usaha strategik universiti untuk memastikan graduan bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah mempunyai daya saing tinggi, kemahiran insaniah yang mantap serta kefahaman mendalam tentang keperluan industri semasa.
Turut hadir menyaksikan penganugerahan ialah Prof. Madya Dr. Raman Noordin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Sabah (UMS), serta wakil-wakil pengurusan institusi pengajian tinggi lain.
Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan pendekatan holistik universiti dalam pembangunan mahasiswa, malah memperkukuh peranan UTM sebagai institusi rujukan dalam kebolehpasaran graduan pada peringkat nasional.

Oleh Dr. Suhaila Mohamad Yusuf