BATU PAHAT, 17 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kolej Tun Razak (KTR) menganjurkan Bengkel Urutan Sukan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat sebagai sebahagian daripada program pemindahan ilmu komuniti tempatan. Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) melalui program 1 Kolej 1 Daerah (1K1D).
Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC), serta UTM HEAL Terapi & Rehabilitasi, dengan sokongan penuh pihak pengurusan MRSM Batu Pahat. Matlamat bengkel adalah untuk memperkasakan atlet muda dengan pengetahuan saintifik teknik urutan sukan yang dapat meningkatkan prestasi fizikal, mempercepat pemulihan, dan mengurangkan risiko kecederaan.
Sebanyak 23 pelajar KTR terlibat sebagai jawatankuasa pelaksana dan urusetia, dibimbing oleh tiga penasihat Majlis Felow KTR. Penglibatan aktif mereka memupuk nilai kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa.
Penceramah utama bengkel, Dr. Nur Fatihah Raimi, Pensyarah Sains Sukan dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) UTM, menyampaikan sesi teori dan praktikal menekankan kepentingan urutan sukan dalam latihan atlet. Sesi praktikal dikendalikan bersama fasilitator, Noorafham Noorazman, pelajar pascasiswazah Sains Sukan, FEST merangkap Majlis Felow KTR.


Menurut Cik Ummi Nursyazwani Mukhtar, Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan MRSM Batu Pahat, bengkel ini memberikan nilai tambah dari sudut pengetahuan sains sukan. “Kami amat berterima kasih atas inisiatif UTM dalam memindahkan ilmu sains sukan kepada pelajar kami. Bengkel seperti ini bukan sahaja membekalkan kemahiran teknikal, malah turut mengukuhkan jalinan kolaboratif antara MRSM dan institusi pengajian tinggi,” ujarnya.



Bengkel ini menzahirkan komitmen UTM sebagai universiti penyelidikan yang aktif menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat. Ia selari dengan aspirasi 20 Hala Tuju Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, khususnya dalam pembelajaran sepanjang hayat dan penglibatan institusi dengan masyarakat.
Kerjasama antara KTR dan MRSM Batu Pahat juga membuka potensi kerjaya masa depan kepada pelajar melalui pendedahan awal kepada bidang keusahawanan berasaskan sains sukan. Inisiatif ini bukan sahaja platform pendidikan, tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negara.
Oleh Ahmad Syakir Farhan A Kassim dan Noorafham Noorazman