JOHOR BAHRU, 14 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di Johor dalam penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI @Kampus. Inisiatif strategik ini digerakkan bertujuan untuk membantu dan meringankan beban kos sara hidup warga kampus, khususnya dalam kalangan pelajar.
Program yang berlangsung di Student Union Building, UTM Johor Bahru, menerima kunjungan Yang Berhormat Senator Dr. Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, sebagai sebahagian lawatan kerja beliau ke Johor.
Inisiatif ini dianjurkan menerusi kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Bahagian Pemajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, serta Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM di bawah Jabatan Timbalan Naib Casnelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Program ini menjadi medan kolaborasi antara kementerian dan institusi pendidikan tinggi dalam mendekati keperluan sebenar pelajar khususnya yang merupakan sebahagian komuniti kampus.
Sebanyak 37 jenis barangan keperluan (SKU) ditawarkan sepanjang program ini dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. Antara barangan yang dijual termasuk 23 SKU makanan kering seperti telur, roti, biskut dan air minuman; 4 SKU barangan penjagaan diri seperti ubat gigi dan berus gigi; serta 10 SKU alat tulis seperti kertas A4, pen dan pensel. Semua barangan ini disediakan oleh pihak UTM melalui Bahagian Pemajuan sebagai langkah intervensi yang proaktif dan menyeluruh untuk menyokong kebajikan pelajar.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata universiti sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, lestari dan sejahtera kepada seluruh warganya.
“Kesejahteraan pelajar dari sudut kehidupan harian merupakan asas kepada kekuatan akademik dan pembangunan kepimpinan. Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja memberi bantuan terus kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga memupuk budaya kepedulian sosial dalam kalangan warga kampus,” ujarnya.

Prof. Dr. Shafry turut menegaskan usaha ini menunjukkan pendekatan UTM yang proaktif dan kolaboratif dalam mendepani isu kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif bersasar.
Program Jualan Rahmah MADANI @Kampus dilihat selari dengan aspirasi kerajaan melalui gagasan Malaysia MADANI, khususnya dalam mencerminkan nilai Ihsan, Kesejahteraan dan Keprihatinan yang menjadi teras kepada Kerajaan Perpaduan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, termasuk di peringkat kampus.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar dan staf universiti, malah turut menyemai budaya prihatin dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan komuniti kampus secara menyeluruh.
Muhammad Syamil Mohd Zuhairini, pelajar tahun akhir fakulti Kejuruteraaan Mekanikal UTM, ketika ditemui menyifatkan program ini sangat bermanfaat dalam membantu golongan pelajar yang sememangnya amat memerlukan bantuan dalam meringankan beban kos sara hidup.

“Inisiatif Jualan Madani ini sangat membantu pelajar, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan, kerana menawarkan barang keperluan harian dengan harga lebih murah berbanding di luar. Contohnya hari ini barangan yang saya beli harganya lebih murah kira-kira sehingga 20%. Saya harap program sebegini diteruskan demi kebajikan pelajar di kampus.”
Bagi Auni Nabila Azril pula, pelajar Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) UTM, beliau turut mengakui barangan yang ditawarkan sempena Program Jualan Rahmah MADANI @Kampus ini amat murah berbanding harga di premis perniagaan di luar kampus.

“Program seperti ini amat membantu pelajar seperti saya kerana harga barangan yang ditawarkan jauh lebih murah sehingga lebih kurang RM20. Saya berharap inisiatif sebegini dapat dilaksanakan secara berkala demi meringankan beban kewangan pelajar.”
Bahagian Pemajuan dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM bertindak sebagai penyelaras utama penyediaan barangan, manakala Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM turut memainkan peranan penting sebagai sukarelawan dalam memastikan kelancaran penganjuran.
Selepas UTM, program ini dijadualkan diperluas ke beberapa lagi universiti lain di Johor, termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dalam usaha memperluas manfaat kepada lebih ramai warga kampus di seluruh negara.