BATU PAHAT, 17 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap pemerkasaan komuniti dan kelestarian alam sekitar melalui penganjuran Bengkel Minyak Masak Lestari di Balai Islam Pekan Semerah, Batu Pahat.
Program ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Razak (KTR), UTM, dengan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dan Unit Wakaf UTM, serta mendapat sokongan strategik daripada Jawatankuasa Komuniti Kampung Pekan Semerah (JKK Pekan Semerah). Ia merupakan salah satu inisiatif berimpak tinggi yang dirangka bagi menghubungkan pelajar universiti dengan masyarakat melalui aktiviti pemindahan ilmu, inovasi sosial, dan kesedaran alam sekitar.
Program ini memberi tumpuan khusus kepada isu pengurusan sisa minyak masak terpakai yang sering diabaikan namun berpotensi memberi kesan buruk terhadap alam sekitar jika tidak diurus dengan betul. Melalui pendekatan pendidikan dan demonstrasi kaedah penulenan minyak terpakai secara langsung, program ini berjaya menarik penyertaan aktif lebih 45 orang penduduk kampung, merangkumi pelbagai peringkat umur dan latar belakang, terutamanya wanita, termasuk golongan belia, suri rumah, dan warga emas.

Antara pengisian utama ialah sesi ceramah mengenai pengurusan sisa minyak terpakai yang disampaikan oleh Puan Hasnah Md Amin, Pegawai Sains dari Fakulti Sains, Pendidikan dan Teknologi (FEST) UTM. Ceramah tersebut menjelaskan impak negatif minyak terpakai terhadap sistem saliran dan ekosistem jika dibuang secara sembarangan, serta menggalakkan perubahan tingkah laku ke arah pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan lestari.

Lebih menarik, peserta turut terlibat dalam aktiviti interaktif Recycle Oil Interactive Game Challenge, satu pendekatan pembelajaran inovatif yang menggunakan teknologi digital seperti kod QR untuk menguji dan memperkukuh pemahaman peserta terhadap amalan kitar semula dan kelestarian. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah berupaya meningkatkan literasi teknologi dalam kalangan komuniti luar bandar.

Kemuncak program menyaksikan demonstrasi teknik peneutralan sisa minyak terpakai menggunakan serbuk arang aktif, yang turut dikendalikan oleh Puan Hasnah. Teknik ini diperkenalkan sebagai alternatif rawatan minyak yang mudah, kos rendah, selamat, dan mesra alam. Ia membuka peluang kepada komuniti, terutamanya wanita untuk meneroka potensi inovasi mikro yang boleh dijadikan sumber pendapatan atau inisiatif komuniti.

Menurut Pengetua Kolej Tun Razak, Dr. Norhanim Abdul Samad, program seumpama ini memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan komuniti melalui pendekatan lestari. “Program ini selari dengan aspirasi UTM untuk memupuk kesedaran dan amalan kelestarian dalam kalangan masyarakat. Penglibatan aktif komuniti, khususnya wanita, dalam program ini membuktikan bahawa inisiatif sebegini mampu menyemai nilai lestari di akar umbi. Saya amat berbangga dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar KTR dalam menjayakan program ini.”
Beliau turut menambah bahawa program seumpama ini wajar diperluaskan ke daerah lain dan diangkat sebagai model kerjasama strategik antara universiti dan komuniti untuk mendepani cabaran sosial dan alam sekitar secara kolektif.

Sementara itu, wakil JKK Pekan Semerah juga menyambut baik usaha ini dan menyuarakan hasrat agar program berasaskan pendidikan alam sekitar diteruskan secara berkala bagi meningkatkan tahap kesedaran dan literasi alam sekitar dalam kalangan penduduk luar bandar. Melalui program sebegini, UTM terus menzahirkan tanggungjawab sosialnya dengan menjadikan pendidikan dan inovasi sebagai medium transformasi komuniti ke arah masa depan yang lebih lestari, inklusif, dan mampan.
Oleh Ahmad Syakir Farhan A Kassim dan Noorafham Noorazman