May 26, 2025

UTM dan DBP usaha perluas kefahaman hadis dalam kalangan generasi muda

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmen dalam memartabatkan ilmu dan akhlak Islam menerusi pelancaran Siri Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam satu majlis rasmi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini mengetengahkan sepuluh judul buku yang dihasilkan berdasarkan hadis-hadis pilihan daripada himpunan Hadis 40 Imam al-Nawawi, dengan pendekatan yang mudah difahami khususnya buat bacaan kanak-kanak dan remaja.

Lebih membanggakan, penghasilan siri ini merupakan hasil gandingan lapan penulis yang terdiri daripada ahli akademik dan pelajar dari UTM dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Antara tokoh akademik yang terlibat ialah Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof, Prof. Madya Dr. Adibah Abdul Latif, Dr. Muhammad Talhah Ajmain @ Jima’ain, dan Dr. Siti Nur Hadis A Rahman dari UTM, serta Prof. Ts. Dr. Alina Shamsuddin dan Prof. Madya Dr. Fadillah Ismail dari UTHM (merangkap alumni UTM). Turut menyumbang ialah dua pelajar pascasiswazah UTM, Suhannad Abdullah dan Wan Abdul Rahman Wan Ibrisam Fikry.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, merasmikan pelancaran Siri Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi sempena PBAKL 2025
Sebahagian penulis siri Hadis 40 Imam al-Nawawi bergambar bersama delegasi UTM dan DBP di Dewan Tun Hussein Onn

Menurut Prof. Dr. Mohd Shafry dalam ucapannya, inisiatif ini bukan sahaja menyahut saranan kerajaan untuk memperluas kefahaman hadis dalam kalangan pelajar sekolah, malah menjadi bukti kolaborasi akademik dan intelektual antara UTM dan agensi nasional seperti DBP. Beliau turut menyeru agar kandungan seumpama ini diperkasakan dalam bentuk digital sejajar dengan transformasi pembelajaran abad ke-21.

Turut dipamerkan dalam pelancaran ini adalah beberapa judul buku yang menarik seperti Sedapnya Bau Syurga, Pasar Ammar, Bukan Salah Kiki, dan Peristiwa di Rumah Syurga, yang semuanya menampilkan mesej moral berasaskan hadis-hadis terpilih.

Siri ini diharap dapat menjadi bahan sokongan yang bermanfaat untuk pembentukan sahsiah unggul dalam kalangan generasi muda, berteraskan prinsip “agama itu nasihat”, sebagaimana terkandung dalam Hadis ke-7 Riwayat Muslim yang turut dikupas dalam majlis tersebut.

UTM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada usaha memupuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya tahan dalam arus pembangunan negara.

Dalam kesempatan yang sama, Naib Canselor UTM turut melawat reruai UTM Press di PBAKL 2025 sebagai simbolik sokongan terhadap pembangunan bahan ilmiah dan penerbitan berimpak tinggi oleh warga universiti.

Prof. Dr. Mohd Shafry meluangkan masa melawat reruai UTM Press yang mempamerkan hasil penerbitan terbaharu UTM
Prof. Dr. Mohd Shafry turut meninjau bahan terbitan terkini UTM Press yang dipamerkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025

Explore More