JOHOR BAHRU, 20 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh pengurusan kualiti akademik melalui penganjuran sesi In-House Training on Implementing of Malaysia Qualification Framework (MQF) Second Edition (2024) yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.
Latihan ini merupakan kerjasama antara Pusat Kualiti Akademik dan Kurikulum (UTM CAQ) dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dan dihadiri oleh semua Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Pengurus Kualiti Akademik dan Strategi dari setiap fakulti, serta wakil-wakil dari beberapa Pusat Tanggungjawab (PTj) terpilih.

Kursus ini disampaikan oleh penceramah jemputan, Prof. Sr. Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib, ahli Jawatankuasa Akreditasi MQA dan mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA (UiTM). Objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta terhadap pelaksanaan MQF Edisi Kedua (semakan 2024), khususnya sebagai persediaan menghadapi Audit Swaakreditasi serta memperkasakan penulisan Programme Educational Objectives (PEO) dan Programme Learning Outcomes (PLO) selaras dengan dokumen semakan terkini.
Selain memberi pendedahan tentang keperluan penyelarasan program dengan MQF edisi semasa, latihan ini turut membimbing peserta untuk memahami perbezaan antara MQF 1.0, MQF 2.0 (2017), dan MQF 2.0 (2024). Sesi praktikal yang disediakan memberi ruang kepada peserta untuk mengaplikasikan dokumen MQF 2024 secara terus ke dalam kurikulum program masing-masing.


Pengarah UTM CAQ menyatakan harapan agar kursus ini menjadi pemangkin kepada penambahbaikan pengurusan Internal Quality Assurance (IQA) di semua fakulti. Beliau turut menegaskan komitmen berterusan UTM terhadap pematuhan piawaian MQA dan penggunaan sepenuhnya dokumen MQF Edisi Kedua versi 2024 sebagai rujukan utama dalam sistem serta proses pengurusan akademik di fakulti.
Sesi latihan ini turut merangkumi modul-modul penting yang merentasi pelbagai aspek dalam dokumen MQF 2.0 (2024), antaranya, Legislations and Regulators in Higher Education, National Qualifications Framework and MQF (2024), Learning Outcomes, Skillsets and Competencies, Integrating Values-Based Education, Integrating Sustainability Competencies, serta Integrating Flexible Learning Pathways and Harmonisation of Frameworks. Latihan praktikal turut merangkumi Mapping of Learning Outcomes dan Writing on Course Learning Outcomes (CLO) vs Sustainability Competencies.

Dengan penganjuran kursus ini, UTM terus menunjukkan komitmen dalam mempertingkat kualiti kurikulum dan kecemerlangan pendidikan tinggi. Diharapkan para peserta dapat menerapkan kefahaman baharu ini di fakulti masing-masing dan mengenal pasti keperluan penambahbaikan program agar lebih selaras dengan aspirasi pendidikan masa depan berdasarkan MQF semakan terkini.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), yang menyokong pencapaian Key High Impact Result (KeyHIR): Number of new future-oriented academic program.