June 13, 2025

Sukarelawan UTM bantu lancar perjalanan jemaah haji Malaysia

SENAI, 24 Mei – Perjalanan jemaah haji Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Mekah berjalan lancar hasil kerjasama erat antara Tabung Haji dan beberapa organisasi yang menyediakan sukarelawan, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerusi Operasi Haji Tahunan Tanah Air (OHTA) Fasa 1 yang berlangsung dari 13 hingga 24 Mei 2025.

Tahun ini menandakan penyertaan kali ketiga UTM bersama Tabung Haji dalam menyantuni komuniti setempat di lapangan terbang tersebut. Seramai 15 orang wakil staf UTM telah bertugas secara berjadual bagi menyambut dan membantu para duyufurrahman sejak ketibaan mereka sehingga saat berlepas.

Lebih 2,000 jemaah telah diuruskan dalam tempoh ini menerusi 14 penerbangan, bersama agensi lain seperti Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti. Para sukarelawan ditugaskan untuk membantu urusan daftar masuk, semakan dokumen perjalanan serta pengurusan bagasi. Bantuan turut diberikan kepada jemaah yang memerlukan, termasuk memimpin, menolak kerusi roda dan memberi taklimat ringkas berkaitan prosedur penerbangan.

Ketua Sukarelawan OHTA UTM, Hj. Md. Yani Kasiren berkata, penyertaan UTM dalam program ini membuka ruang kerjasama lebih erat dengan pihak Tabung Haji pada masa akan datang.

“Tugas kami bermula seawal ketibaan jemaah di lapangan terbang. Ada yang perlukan bantuan kerusi roda, ada juga yang pertama kali menaiki kapal terbang. Di sinilah peranan kami untuk pastikan mereka tenang dan yakin. Saya percaya kerjasama ini akan menjadi batu loncatan untuk hubungan positif antara UTM dan Tabung Haji selepas ini,” jelas beliau.

Petugas sukarelawan OHTA 2025 bersama Pengarah Tabung Haji Johor, Hj. Shahidan Taib (empat dari kanan)

Walaupun berdepan jadual tugasan yang padat, para sukarelawan tetap teruja dapat berkongsi semangat bersama jemaah haji yang bakal menunaikan rukun Islam kelima.

Pengarah Tabung Haji Johor, Hj. Shahidan Taib menyambut baik penyertaan sukarelawan UTM dan menyatakan komitmen pihaknya untuk meneruskan kerjasama sebegini.

“TH sentiasa terbuka menerima sukarelawan untuk sama-sama membantu jemaah agar perjalanan ibadah ini berjalan lancar. Saban tahun kita berusaha menambah baik proses haji, dan kami mengalu-alukan cadangan ke arah sistem yang lebih efisien,” ujar beliau.

Seramai 31,000 jemaah haji dari seluruh Malaysia dijangka berada di tanah suci selama 40 hari, dengan penerbangan pulang pertama dijadualkan pada 24 Jun 2025.

Komitmen institusi pendidikan tinggi seperti UTM dalam menyumbang kepada operasi kebajikan seperti ini bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab sosial universiti, malah memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta memperluas ruang pengalaman kesukarelawanan dalam kalangan warganya.

Diharapkan usaha murni ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan yang lebih meluas. Peranan UTM sebagai universiti berteraskan nilai insaniah mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih prihatin, bersatu hati dan saling membantu dalam apa jua keadaan.

Explore More