May 23, 2025

MERLIMAU, 18 Mei – Seramai 36 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjayakan program khidmat masyarakat Sentuhan Kasih di Kampung Pulai Barat, Merlimau, Melaka. Program anjuran Kelab Lambaian Masyarakat (KLM) di bawah Biro Kemasyarakatan dan Kesukarelawanan, Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tuanku Canselor (JKP KTC) serta Kelab Kerjaya dan Kaunseling (KKDK) ini telah menyantuni 50 pelajar SK Pulai dari keluarga golongan B40.

Program ini bertujuan menyemai nilai empati dan ihsan dalam kalangan mahasiswa melalui penglibatan langsung dalam kehidupan masyarakat. Pada masa sama, ia memberi inspirasi kepada anak-anak keluarga B40 agar lebih menghargai pendidikan sebagai landasan kejayaan.

Sesi ramah mesra bersama fasilitator Sentuhan Kasih dan anak-anak golongan B40 di Dewan Umar

Antara pengisian menarik sepanjang program termasuk slot Mari Belajar Bahasa Inggeris dan aktiviti STEM. Anak-anak ini terlibat dalam aktiviti membuat sandwic sambil belajar istilah dalam bahasa Inggeris serta bermain explorace interaktif yang mencabar minda dan fizikal. Mereka turut membina kereta model menggunakan bahan kitar semula sambil meneroka konsep asas fizik. Gabungan aktiviti ini bukan sahaja mencetuskan minat terhadap pembelajaran, malah membina keyakinan, kreativiti dan semangat ingin tahu dalam kalangan peserta cilik.

Slot memasak dan membuat sandwic ‘Mari Belajar dalam Bahasa Inggeris’ mencipta suasana seronok sambil belajar
Slot explorace ‘Mari Belajar dalam Bahasa Inggeris’ bersama anak-anak B40 belajar sambil bermain teka-teki

Pihak penganjur turut menyampaikan Bakul Kasih peribadi daripada YB Dato’ Haji Zaidi Haji Attan, Ahli Dewan Undangan Negeri Serkam, serta sumbangan Yayasan Ikhlas yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan makanan kering kepada keluarga B40 yang terlibat. Sumbangan ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban mereka, tetapi juga sebagai tanda sokongan moral warga universiti kepada komuniti setempat. Penglibatan aktif mahasiswa dalam agihan serta pengurusan program memperlihatkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial yang tinggi dalam kalangan generasi muda.

Simbolik penyerahan sumbangan Yayasan Ikhlas oleh Aina Nuha Che Mahadzir kepada wakil pelajar SK Pulai, Merlimau
Sesi penebusan barangan sumbangan oleh 50 ibu bapa anak-anak B40 pada akhir majlis penutupan

Sentuhan Kasih bukan sekadar program khidmat masyarakat, tetapi merupakan platform pembelajaran dua hala antara warga universiti dan komuniti. Melalui interaksi ini, mahasiswa dapat memahami cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat luar bandar, di samping memupuk semangat untuk terus memberi kembali kepada masyarakat. Secara keseluruhan, Sentuhan Kasih berjaya meninggalkan impak positif bukan sahaja kepada komuniti sasaran, tetapi juga kepada mahasiswa yang terlibat sebagai agen perubahan masa hadapan. Inisiatif seperti ini diharap dapat diteruskan dan diperluas ke kawasan lain bagi memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti.

Explore More