May 22, 2025

Program STEM tajaan UNESCO-UTM bimbing pelajar hasilkan produk kitar semula kreatif

JOHOR BAHRU, 18 Mei – Program “Reimagining Waste to Art: Sentuhan Alam di SMK Seri Pulai Perdana” berjaya dilaksanakan selama dua hari pada 17 dan 18 Mei 2025 bertempat di Laman Kantin sekolah tersebut.

Inisiatif ini dianjurkan oleh mahasiswa Kelab Riverdale, Kolej Rahman Putra (KRP) dengan tajaan daripada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE), Malaysia Section, serta Pusat Jaringan Komuniti dan Industri, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Haizal Jamaludin, turut menampilkan perkongsian daripada Ts. Mohd Hazri Ishak.

Sepenuhnya dikendalikan oleh ahli Kelab Riverdale KRP dengan bimbingan fasilitator Abdul Rashid Zailan, Zamree Rahmat, Mohd Kamarul Asraf Rahmat, Muhd Firdaus Zainaludin, Mohd Shahrizal Jamaludin, dan Mohd Adi Naim Mokhtar, program ini disertai oleh 32 orang murid tingkatan 1 hingga 3 SMK Seri Pulai Perdana. Ia bertujuan memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar melalui pendekatan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).

Fokus utama adalah memperkenalkan konsep kitar semula dan guna semula melalui aktiviti kreatif berasaskan amali. Tiga jenis produk utama telah dihasilkan; pasu bunga daripada kain rendaman simen, cendawan mini daripada bancuhan simen, dan pasu bunga daripada tayar terpakai. Aktiviti ini bukan sahaja mengasah kreativiti, malah memberi pendedahan praktikal tentang bagaimana bahan buangan boleh ditransformasi menjadi produk yang bernilai dan berfungsi.

Aktiviti melipat tayar oleh peserta untuk dijadikan pasu bunga hiasan
Sekitar aktiviti membuat pasu bunga dari kain terbuang
Teknik membancuh simen dengan sukatan yang betul

Hari pertama memfokuskan kepada pembuatan produk. Peserta mempelajari teknik rendaman kain dalam simen untuk menghasilkan pasu, membentuk cendawan mini, serta memotong dan membentuk tayar terpakai menjadi pasu bunga yang menarik.

Hari kedua pula melibatkan proses mengecat dan menghias produk. Pasu dan cendawan mini dicat menggunakan cat air, manakala pasu tayar dihias dengan cat minyak bagi menambah ketahanan. Kreativiti peserta terserlah dalam pemilihan warna dan reka bentuk, menghasilkan produk yang bersifat estetik dan berfungsi. Sebanyak 20 unit cendawan mini, 20 unit pasu kain, dan 10 unit pasu tayar berjaya dihasilkan dan dijadikan elemen landskap baharu di hadapan Laman Kantin SMK Seri Pulai Perdana.

Kegembiraan yang jelas terpancar di wajah peserta bersama hasil produk sendiri
Sebahagian produk dari bahan kitar semula yang berjaya dihasilkan sebagai hiasan landskap sekolah

Majlis penutup diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta. Turut hadir ialah wakil dari UTM, guru-guru SMK Seri Pulai Perdana, serta ahli Kelab Riverdale KRP. Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal menekankan kepentingan program sebegini dalam memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda, selain menyampaikan penghargaan kepada penaja dan fasilitator atas kerjasama yang diberikan.

Pihak sekolah, menerusi Guru Penyelaras Lestari, Muhamad Zamri Abdul Rahim, turut merakamkan penghargaan dan berharap program seumpamanya dapat diteruskan. Menurut beliau, aktiviti sebegini bukan sahaja menyokong pembelajaran murid, malah memperkukuh keyakinan diri dalam menghasilkan produk kreatif.

“Reimagining Waste to Art” dilihat sebagai pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang menggabungkan STEM dan kelestarian alam sekitar. Dengan pendekatan yang kreatif dan praktikal, peserta bukan sahaja didedahkan kepada pentingnya kitar semula, tetapi juga bagaimana sains dan teknologi diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Melalui kerjasama erat antara institusi pendidikan, komuniti dan pihak berkepentingan, program seperti ini diyakini mampu melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan kreatif dalam menyelesaikan masalah. Kejayaannya membuktikan bahawa usaha kolaboratif berupaya memberi impak yang signifikan dalam pendidikan serta pemuliharaan alam sekitar.

Explore More