June 7, 2025

Pelancaran buku “Baca” versi Braille dan audio semarak literasi inklusif di PBAKL 2025

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), telah melancarkan buku Baca versi Braille dan audio sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datin Seri Masdiana Muhammad, isteri kepada YAB Menteri Besar Selangor merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS). Dalam majlis tersebut, beliau turut menyerahkan secara simbolik naskhah buku Baca versi Braille kepada Encik Zamzuri Ghani, Pengurus Operasi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Antara pengunjung yang hadir ke sesi perasmian buku Baca versi Braille dan Audio

Buku ini dihasilkan melalui projek “Baca Celik Hati” yang digerakkan oleh Perpustakaan UTM sejak tahun 2023. Inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang ketaksamarataan dalam akses kepada maklumat, khususnya bagi komuniti kelainan upaya penglihatan, serta memperkukuh budaya literasi inklusif dalam masyarakat Malaysia.

Majlis turut diserikan dengan momen simbolik apabila Saudara Yu Xian Jian, mahasiswa Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, memperdengarkan bacaan petikan teks Braille daripada bab bertajuk “Mengapa Membaca”, sebagai lambang bahawa hak membaca adalah milik semua.

Saudara Yu Xian Jian membaca petikan teks Braille daripada bab bertajuk “Mengapa Membaca”

Dalam ucapannya, Yang Berbahagia Datin Seri Masdiana menzahirkan penghargaan kepada golongan pustakawan yang menjadi tulang belakang kepada inisiatif ini. “Ilmu itu milik semua. Apabila pustakawan melangkah ke hadapan untuk menyediakan bahan bacaan inklusif, mereka sedang menyambung tugas kemanusiaan menyebarkan cahaya ilmu ke hati yang memerlukan,” ujar beliau.

Sejurus selepas pelancaran, majlis diteruskan dengan sesi Knowledge Sharing bertajuk “Baca Celik Hati – Pustakawan Pemangkin Literasi Inklusif”. Sesi ini menampilkan dua panel profesional dalam bidang perpustakaan, iaitu Pn. Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Pustakawan (Perkhidmatan), Perpustakaan UTM dan Pn. Shamsiah Abu Bakar, Penolong Ketua Pustakawan, Perpustakaan Universiti Malaya, manakala Puan Siti Sumaizan Ramli, Setiausaha PPM, bertindak sebagai moderator.

Sesi Knowledge Sharing yang berlangsung
Sesi bergambar bersama panel

Program ini bukan sahaja mencerminkan semangat kolaborasi antara institusi perpustakaan di Malaysia, malah menyerlahkan peranan strategik pustakawan sebagai agen perubahan dalam menjayakan aspirasi masyarakat celik maklumat yang inklusif, progresif dan berdaya saing.

Pelancaran buku Baca versi Braille dan audio ini juga bukan sekadar menandakan satu lagi pencapaian dalam inisiatif literasi negara, malah menjadi simbol harapan bahawa akses kepada ilmu tidak seharusnya dibatasi oleh kekurangan fizikal. Dengan sokongan pelbagai pihak, usaha seumpama ini diyakini mampu memacu transformasi jangka panjang ke arah masyarakat Malaysia yang lebih inklusif, prihatin dan celik maklumat.

Explore More