June 20, 2025

Pelajar ASDAF kuasai teknologi dan AI melalui projek STEM UTM

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Seramai 48 pelajar Orang Asli dari Asrama Darul Falah (ASDAF) berjaya membuktikan keupayaan luar biasa dalam menguasai teknologi melalui pembabitan mereka dalam Projek STEM Final bertemakan “Pembinaan Jambatan Kukuh.” Projek ini merupakan kemuncak kepada inisiatif Program Pemindahan Ilmu (KTP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertajuk “Pemerkasaan Ilmu dan Kemahiran Literasi Digital Anak-Anak Orang Asli Melalui Kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek STEM.”

Inisiatif ini diketuai oleh Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM dengan kerjasama rapat rakan akademik dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI). Antara tenaga penggerak utama yang turut menyumbang kepakaran termasuk Prof. Madya Dr. Roslina Ibrahim, Dr. Hayati@Habibah Abdul Talib, Ir. Ts. Dr. Nurul Huda Ahmad, Ir. Ts. Dr. Mohd Azlan Abu, Ts. Rafizah Musa, serta beberapa pensyarah FAI lain — menjadikan program ini satu gabungan mantap antara pendidikan, teknologi, dan empati.

Barisan pensyarah yang terlibat dalam projek bersama Dr. Ayuni Shamsul Bahri (berdiri, tengah)
Pelajar ASDAF menguji rekaan projek masing-masing

Projek ini dilaksanakan dalam tiga fasa utama. Fasa pertama bermula pada Julai 2024 dengan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang pendekatan penyelesaian masalah dunia sebenar. Mereka dibimbing untuk menyelesaikan isu berkaitan reka bentuk produk berasaskan tema STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), sambil mengasah kemahiran analitikal dan kerjasama kumpulan. Setiap pasukan dikehendaki mengenal pasti masalah, mencari maklumat, mencadangkan penyelesaian dan membuat semakan semula terhadap idea mereka dengan pemantauan fasilitator UTM.

Memasuki fasa kedua pada Ogos 2024, para pelajar mula meneroka dunia digital — satu alam baharu yang sebelum ini agak asing bagi kebanyakan daripada mereka. Dalam fasa ini, mereka dibimbing oleh jurulatih industri, Mohd Noor M. Tahir dari CMN Digylearn Sdn. Bhd., yang melatih pelajar dalam kemahiran literasi digital dan teknik penyampaian berkesan. Mereka diperkenalkan kepada penggunaan aplikasi seperti Streamyard, e-mel rasmi, serta kaedah pencarian maklumat sahih di internet.

Menariknya, fasa ini turut memperkenalkan mereka kepada teknologi Kecerdasan Buatan Generatif (Generative AI) seperti ChatGPT dan Microsoft Co-Pilot. Pelajar diberi tugasan mereka bentuk pasu hidroponik daripada bahan kitar semula, dan rekaan ini diuji selama sebulan dengan penanaman kangkung. Hasilnya dipersembahkan secara penstriman langsung di laman media sosial rasmi ASDAF Perkim, disaksikan ibu bapa dan komuniti setempat.

Kejayaan fasa pertama dan kedua membuktikan potensi luar biasa anak-anak Orang Asli ini dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar dan menguasai penggunaan teknologi baharu. Program ini juga memperlihatkan kesungguhan fasilitator UTM membimbing mereka secara sistematik dan menyeluruh.

Pelajar ASDAF membentangkan reka bentuk pot hidroponik menggunakan kertas mahjung dan visualisasi melalui ChatGPT dan Co-Pilot

Bagi mengukuhkan keberhasilan program, satu sesi pemantauan fasa ketiga dilaksanakan pada 11 Mei 2025. Kali ini, pelajar diberi cabaran baharu, iaitu dengan mereka bentuk jambatan yang kukuh dan stabil menggunakan bahan terhad. Cabaran ini memperkenalkan pendekatan pembelajaran lebih kompleks yang menggabungkan aspek kejuruteraan asas dan teknologi digital.

Mereka menggunakan teknologi seperti ChatGPT dan Bing Co-Pilot untuk mencari maklumat serta inspirasi reka bentuk, dan diberi masa 20 hingga 30 minit untuk membuat carian kendiri menggunakan komputer makmal ASDAF. Fasilitator UTM bertindak sebagai pemantau dan pembimbing sepanjang proses ini.

Pelajar ASDAF menggunakan aplikasi Streamyard untuk membentangkan projek secara langsung di media sosial
Model jambatan kukuh hasil kreativiti pelajar dengan sokongan kemahiran digital dan penyelesaian masalah

Hasil idea kreatif pelajar diterjemahkan kepada model fizikal yang dibina daripada bahan asas. Setiap kumpulan membentangkan projek mereka secara penstriman langsung melalui platform Streamyard di laman Facebook rasmi ASDAF Perkim. Sesi ini bukan sahaja menguji kefahaman teknikal, malah menilai tahap literasi digital, penciptaan kandungan, komunikasi, serta kerjasama dalam kumpulan.

Pencapaian ini membuktikan bahawa pelajar dari komuniti yang kurang pendedahan seperti Orang Asli dan asnaf mempunyai potensi besar dalam bidang teknologi, sekiranya diberi peluang dan sokongan sewajarnya. Program ini bukan sahaja memperkukuh pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-Based Learning), tetapi juga mencetus keyakinan bahawa dengan strategi pendidikan yang betul, komuniti luar bandar turut mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi digital masa kini.

Explore More