May 22, 2025

[wpml_language_selector_widget]

NC UTM Terima Kunjungan Hormat Profesor Imperial College London

JOHOR BAHRU, 19 Mei 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Imperial College London, YBrs. Prof. Dr. Jerry Heng, dalam satu pertemuan yang berlangsung di kampus UTM Johor Bahru.

Prof. Dr. Jerry Heng, yang juga merupakan alumni UTM, disambut mesra oleh Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, dalam perbincangan yang menjurus kepada eksplorasi potensi kerjasama akademik antara UTM dan Imperial College London – salah sebuah institusi kejuruteraan dan sains terkemuka dunia.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pengerusi Sekolah Pengajian Ijazah Sarjana Muda (UGS), YBrs. Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, bersama barisan pentadbir akademik kanan UTM.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah pemerkasaan jaringan akademik global, pembangunan program mobiliti pelajar dan pensyarah, peluang penyelidikan bersama dalam bidang kejuruteraan kimia, serta inisiatif pertukaran amalan terbaik dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (T&L) berimpak tinggi.

Naib Canselor UTM dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kesudian Prof. Dr. Jerry Heng kembali ke UTM, bukan sahaja sebagai alumni yang cemerlang, tetapi juga sebagai rakan strategik antarabangsa yang berpotensi menyumbang kepada agenda kecemerlangan global universiti.

“Kehadiran Prof. Jerry Heng mengukuhkan lagi hasrat UTM untuk memposisikan diri sebagai universiti bertaraf dunia yang menjalin jaringan pintar dengan institusi tersohor. Kami percaya, kolaborasi strategik dengan Imperial College London akan membawa manfaat besar kepada pelajar, pensyarah dan reputasi akademik UTM di persada antarabangsa,” ujar beliau.

Sebagai alumni yang kini berperanan penting dalam bidang akademik global, Prof. Dr. Jerry Heng turut berkongsi pandangan tentang hala tuju pendidikan tinggi dalam era teknologi disruptif serta kepentingan penyelidikan interdisiplin dalam menyelesaikan cabaran masa depan.

Pejabat Naib Canselor menyambut baik kunjungan ini sebagai permulaan kepada kerjasama lebih erat dan berimpak tinggi antara kedua-dua institusi, sejajar dengan aspirasi UTM untuk terus Menginovasi Penyelesaian Lestari di peringkat antarabangsa.

Explore More