JOHOR BAHRU, 14 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited memperkukuh peranan bakat dalam mendepani cabaran pendidikan tinggi masa kini menerusi penganjuran Sesi Engagement Naib Canselor bersama Kumpulan Profesional dan Pelaksana Gred 13 dan Gred 14 yang berlangsung di kampus Johor Bahru.
Majlis yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd. Shafry bin Mohd. Rahim menghimpunkan seramai 49 pegawai pelbagai skop perjawatan. Golongan ini merangkumi pegawai daripada skim perkhidmatan akauntan, jurutera, pustakawan, pentadbiran, ICT, psikologi, pergigian dan lain-lain, yang memainkan peranan penting dalam operasi harian dan pentadbiran strategik universiti.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Shafry menekankan bahawa sesi ini bukan sekadar wadah penyampaian amanat, tetapi lebih penting sebagai ruang libat urus dua hala bagi mendengar aspirasi dan cabaran warga kerja. Menyedari perubahan pesat landskap pendidikan tinggi, beliau menyeru agar seluruh pegawai bersedia memikul tanggungjawab lebih strategik, berpandukan prinsip berdaya tahan, tangkas dan relevan dengan keperluan semasa.
Beliau turut menggariskan lima fokus utama transformasi staf: pengukuhan peranan strategik, pemberdayaan staf, pusingan kerja, pembinaan peranan pakar rujuk, serta jalinan kerjasama dan pengiktirafan luar. Selain itu, beliau menekankan isu kompetensi, akauntabiliti tugas, budaya agility, penilaian prestasi SSPA, pembinaan kepimpinan masa depan dan amalan pementoran sebagai elemen penting kecemerlangan pengurusan.
“Setiap staf perlu keluar daripada zon selesa dan berani memimpin perubahan. Kita mesti sentiasa bertanya, ‘apa lagi yang boleh saya perbaiki untuk diri dan organisasi?’,” ujar beliau.
Majlis turut menekankan kesiapsiagaan warga universiti terhadap pelaksanaan UTM ASCEND 2030 yang berteraskan empat teras Keunggulan Terbilang: Lonjakan Kebitaraan, Bakat Global, Kemampanan & Kelestarian, serta Kemanusiaan & Kesejahteraan.
Mengakhiri ucapannya, Prof. Dr. Shafry mengajak seluruh warga kerja untuk terus berganding bahu menjadikan UTM bukan sekadar institusi ilmu, tetapi organisasi unggul yang melahirkan pemimpin pelaksana berwibawa.
Kerana Tuhan untuk Manusia | UTM, Menginovasi Penyelesaian Lestari