JOHOR BAHRU, 14 Mei – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggesa pihak pengurusan universiti untuk memperluaskan dan meningkatkan fasiliti berbasikal ke seluruh kampus bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta menyokong usaha kelestarian alam sekitar.
Ketua Jabatan Kelestarian Kampus MPP UTM, Nur Aisy Yasmin Mohd. Fathil berkata peningkatan kemudahan berbasikal akan memberi manfaat besar kepada pelajar dan staf universiti.
“Kami berharap pihak pengurusan dapat menyediakan lebih banyak laluan berbasikal yang selamat, tempat parkir basikal yang mencukupi serta kemudahan lain seperti tempat mencuci dan menyimpan basikal.
“Ini akan memudahkan pelajar dan staf untuk beralih kepada mod pengangkutan yang lebih mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara oleh Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS) di pejabat MPPUTM kampus Johor Bahru sempena sambutan hari ‘Bike To Work’ yang disambut secara global pada 16 Mei setiap tahun.
Tambah beliau, langkah ini juga sejajar dengan usaha kerajaan dan universiti dalam mengurangkan pencemaran udara serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan kampus.
Beberapa pelajar juga menyuarakan sokongan mereka terhadap inisiatif ini menyatakan bahawa berbasikal membantu mereka menjimatkan kos pengangkutan dan meningkatkan kesihatan fizikal.
Pihak universiti sebelum ini telah menyediakan beberapa laluan berbasikal di kampus, namun masih terdapat kekurangan dari segi kuantiti dan keselamatan. Oleh itu, pelbagai pihak termasuk persatuan pelajar menggesa agar pihak pengurusan mengambil tindakan segera bagi meluaskan kemudahan berbasikal ini.
“Pihak kami juga ingin mencadangkan agar diberikan kemudahan untuk warga kampus menggunakan basikal, motosikal dan juga kenderaan elektrik untuk tujuan mobiliti dalam kawasan kampus.
“MPP tiada halangan sekiranya kebenaran untuk membawa kereta dan motosikal di kalangan mahasiswa ditarik asalkan diberikan kemudahan untuk menggunakan kenderaan elektrik termasuk fasiliti sokongan seperti stesen pengecasan dan juga bengkel pembaikan disediakan dengan mencukupi,” katanya lagi,
UTM Johor Bahru diharapkan dapat menjadi contoh universiti yang prihatin terhadap pembangunan mampan dan menggalakkan gaya hidup aktif di kalangan komuniti kampus.
Usaha ini juga diharap dapat menarik lebih ramai pelajar dan staf untuk menggunakan basikal sebagai mod pengangkutan utama mereka di kampus.
Mengakhiri perbualannya, Nur Aisy menegaskan bahawa pelaburan dalam fasiliti berbasikal bukan sahaja membantu menjaga alam sekitar, tetapi juga meningkatkan mobiliti dan kesihatan komuniti kampus secara keseluruhan.
“Kami sebagai mahasiswa sentiasa akan menyokong usaha murni universiti untuk memartabatkan pengangkutan yang mesra alam dan manggalakkan gaya hidup sihat untuk faedah seluruh warga kampus,” katanya lagi.
Penggunaan basikal dan kenderaan elektrik di dalam kawasan kampus universiti secara umumnya dapat dikategorikan sebagai langkah menuju pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) tertentu khususnya di bawah SDG 3 (Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti yang Inklusif, Selamat, Resilien dan Berkelestarian) dan SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim).
