June 7, 2025

MiDEX 2025 perkasa kolaborasi UTM–Industri, perluas peluang graduan

JOHOR BAHRU, 27 Mei – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kolaborasi akademik dan industri menerusi penganjuran Mechanical Industrial Day and Exhibition 2025 (MiDEX 2025) yang berlangsung meriah pada 26 dan 27 Mei lalu di kampus UTM Skudai. Program yang diterajui oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Azlan Suhaimi ini menghimpunkan lebih 34 syarikat industri, agensi strategik, alumni, pelajar sekolah serta komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti seperti pameran teknologi, sesi temu duga terbuka, ceramah kerjaya, demonstrasi penyelidikan, pertandingan kejuruteraan dan pameran pendidikan STEM.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain, Felo Strategi, Global & Kesohoran, yang menegaskan kepentingan kolaborasi pintar antara universiti dan industri sebagai pemangkin kepada masa depan pendidikan dan pembangunan negara.

“MiDEX 2025 bukan sekadar makan malam atau pameran teknologi – ia adalah jawapan kepada persoalan sama ada universiti kita masih relevan dengan dunia sebenar. Pendidikan kita berada di landasan yang betul apabila pelajar berinteraksi dengan industri dan teknologi diuji oleh pasaran sebenar. Ini adalah model kolaborasi masa depan yang mesti diperkasakan,” katanya.

Antara pencapaian utama MiDEX 2025 ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara FKM, UTM dan dua rakan industri utama — TWI Technology (S.E. Asia) Sdn. Bhd. dan Welding Institute Malaysia ANB. Melalui kerjasama ini, UTM menjadi satu-satunya universiti di Malaysia yang dilantik sebagai badan pelaksana bagi program Diploma International Welding Engineer (IWE). Sebanyak RM100,000 pengecualian yuran telah dinikmati oleh sembilan pensyarah FKM bagi mengikuti program pentauliahan antarabangsa ini, manakala geran PENJANA KPT-PACE bernilai RM396,000 telah membolehkan seramai 132 pelajar memperoleh pensijilan antarabangsa CSWIP 3.0. Dalam masa yang sama, Western Digital menyumbangkan lebih RM200,000 dalam bentuk perabot, peralatan dan geran penyelidikan bagi menubuhkan Satellite Lab Western Digital–UTM.

UTM dan Western Digital memeterai kerjasama strategik melalui penyerahan cek simbolik berjumlah RM200,000 bagi penubuhan makmal satelit, memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti-industri

Program ini turut menampilkan pameran hasil penyelidikan Knowledge Transfer Program (KTP@Faculty) oleh penyelidik FKM yang telah dilaksanakan di sekolah dan agensi sekitar Johor dengan sokongan rakan strategik industri. Selain itu, MiDEX 2025 membuka peluang kepada pelajar tahun akhir untuk mempamerkan projek sarjana muda (FYP), hasil penyelidikan UROP dan laporan latihan industri secara terbuka kepada wakil industri melalui sesi pitching, pameran poster dan demonstrasi langsung. Pelajar juga berpeluang menjalani sesi temu duga sebenar bersama syarikat yang hadir, sekali gus meningkatkan potensi penempatan kerja dan latihan pasca pengajian.

Antara tarikan lain yang mencuri tumpuan ialah AeroDex & Drone Showcase, pertandingan STEM Marinovate’25 bersama pelajar sekolah rendah dan menengah, pertandingan Rube Goldberg Machine Challenge, serta Sustainability Showcase yang mengetengahkan inovasi teknologi hijau dan lestari. Pameran International Foodies & Gerai Jualan turut menyemarakkan suasana dengan penyertaan pelajar antarabangsa yang mempamerkan kepelbagaian budaya dan kulinari negara masing-masing.

Sesi lawatan ke booth pelajar sempena AeroDEX 2025, pameran hasil rekaan aeronautik dan potensi kolaborasi antara akademia dan sektor industri penerbangan

Dekan FKM, Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad menyifatkan MiDEX 2025 sebagai simbol kekuatan kolaboratif yang memberi impak kepada pelajar, penyelidik dan negara. “MiDEX bukan noktah – ia adalah titik mula. Inilah tempat bakat pelajar diuji, teknologi dipersembahkan, dan masa depan dibentuk bersama. Kami percaya, dengan sokongan semua pihak — industri, alumni, komuniti — kita mampu membawa lebih banyak perubahan bermakna untuk negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini dan menegaskan bahawa MiDEX menjadi pemangkin utama kepada pengukuhan ekosistem inovasi serta penghasilan graduan berimpak tinggi.

“Sokongan daripada UTM Alumni, Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) dan Sekolah Pengajian Pascasiswazah (SPS) sebagai antara penaja utama telah memungkinkan MiDEX 2025 dilaksanakan dengan lebih lancar, meriah dan berimpak tinggi. MiDEX 2025 adalah simbol kekuatan kolaboratif. Ia bukan sahaja memperkasa hubungan strategik UTM dengan industri, malah memberi ruang kepada pelajar dan penyelidik kita untuk menonjolkan inovasi sebenar yang menjawab keperluan semasa masyarakat dan negara,” ujar beliau.

MiDEX 2025 menjadi manifestasi sinergi antara pelajar, pensyarah dan pihak industri serta merupakan platform penting untuk memacu penyelidikan terapan dan memperluas peluang kerjasama rentas sektor. FKM komited untuk terus menjadi pemangkin kepada inovasi teknologi dan penjanaan penyelesaian kejuruteraan yang memberi impak nyata kepada masyarakat dan negara.

Pelajar mempamerkan projek reka bentuk kejuruteraan sempena MiDEX 2025, mencerminkan daya cipta dan kebolehan menyelesaikan masalah secara kreatif melalui pembelajaran berasaskan projek

Lebih 1,000 pengunjung hadir sepanjang program, termasuk wakil industri, pensyarah dan komuniti sekitar Johor Bahru. MiDEX 2025 turut melibatkan penyertaan pelajar sekolah sekitar Johor Bahru yang diberi peluang mengikuti aktiviti pendidikan STEM secara hands-on dalam suasana kampus universiti. Usaha ini dilihat sebagai langkah awal membina minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

MiDEX 2025 ditutup dengan sesi penyampaian penghargaan kepada rakan industri dan alumni serta sesi jaringan profesional, yang dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama jangka panjang dalam bidang penyelidikan, inovasi dan penempatan graduan. Dengan kejayaan MiDEX 2025, FKM membuktikan komitmen teguh dalam memperkukuh kedudukan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi terkehadapan yang menghubungkan ilmu, teknologi dan insan untuk manfaat sejagat. MiDEX bukan sahaja mencetus inspirasi, malah menjadi bukti nyata bagaimana universiti dapat menyumbang secara langsung kepada aspirasi negara teknologi tinggi dan pendidikan yang berdaya saing global.

MiDEX 2025 yang menghimpunkan komuniti pelajar, alumni, staf akademik dan rakan industri dalam satu platform kolaboratif yang menyokong pembangunan teknologi masa depan

Explore More