May 30, 2025

Mahasiswa UTM pacu AI dan budaya ke pentas global melalui BRAINS’25

BANDUNG, 8 Mei – Program Borneo Resilience Through AI and Sustainability 2025 (BRAINS’25), yang diinspirasikan daripada keunikan budaya Borneo dan diterjemahkan melalui pelbagai persembahan serta penglibatan peserta, telah melakar detik bersejarah sebagai manifestasi sinergi antara teknologi, kelestarian dan diplomasi budaya. Dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Hussein Onn (JKP KTHO), program selama lima hari ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Universitas Padjadjaran (UNPAD).

Program BRAINS’25 mendapat sokongan penuh daripada Pengetua KTHO, Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin, yang turut hadir bersama lima wakil Majlis Felo Merbauan (MAFAN) serta Pengarah Program, saudara Lee Chorng Horng. Seramai 20 peserta, terdiri daripada mahasiswa terpilih KTHO, telah menyertai program ini, membawa aspirasi kepimpinan, intelektual dan kebudayaan dalam menjayakan misi komuniti antarabangsa di Bandung, Indonesia.

Sesi bergambar semasa majlis pembukaan bersama wakil UNPAD
Sesi bergambar semasa majlis pembukaan bersama wakil UNPAD

Sebagai pembuka tirai, para peserta berkumpul di Universitas Padjadjaran bagi majlis pembukaan yang disempurnakan oleh wakil UNPAD, Dr. Budhi Handoko. Ucapan aluan turut disampaikan oleh Dr. Mohd Farizal dan pengarah program, sebagai simbol permulaan kerjasama rentas negara. Sesi pertukaran cenderamata yang diadakan turut mencerminkan nilai penghormatan, persefahaman dan komitmen dalam memperkukuh hubungan dua hala.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian bertajuk “AI Tools for Academic Writing” oleh Dr. Intan Nurma S.T, M.T. di Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam, UNPAD. Dalam sesi yang padat dan interaktif ini, para peserta didedahkan kepada pelbagai aplikasi dan platform kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang dalam dunia penulisan ilmiah. Melalui demonstrasi dan penerangan terperinci, peserta memahami bagaimana AI dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti penulisan, mempercepat proses penyelidikan, serta mengasah pemikiran kritis secara efektif — sejajar dengan arus teknologi global masa kini.

Program menjadi lebih bermakna apabila diserikan dengan persembahan kebudayaan. Pelajar UNPAD mempersembahkan tarian tradisional Indonesia, manakala wakil UTM menampilkan Tarian Sumazau, mencerminkan identiti budaya Borneo yang menjadi jiwa kepada BRAINS’25. Persembahan silang budaya ini memperkukuh kefahaman serta memupuk rasa hormat terhadap warisan masing-masing.

Persembahan Tarian Sumazau oleh pelajar KTHO
Persembahan Tarian Sumazau oleh pelajar KTHO

Pada hari kedua, program diteruskan dengan lawatan ke Kampung Kreatif Dago, kawasan yang memelihara seni dan budaya tempatan. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik penggunaan alat seni tradisional Indonesia, khususnya Wayang Golek. Peserta turut menyertai bengkel mewarna boneka Wayang Golek sebagai sebahagian aktiviti interaktif.

Bengkel Wayang Golek di Kampung Kreatif
Bengkel Wayang Golek di Kampung Kreatif, Dago

Seterusnya, peserta bergerak ke Saung Angklung Udjo bagi menjalankan inisiatif khidmat komuniti berteraskan kelestarian alam dan sosial. Aktiviti ini membuka ruang interaksi bersama komuniti tempatan, memperkukuh semangat kerjasama rentas budaya serta memupuk nilai empati dalam kalangan peserta.

Aktiviti khidmat masyarakat bersama penduduk tempatan
Aktiviti khidmat masyarakat bersama penduduk tempatan

Selesai aktiviti komuniti, peserta menyaksikan persembahan kebudayaan oleh Saung Angklung Udjo, termasuk Wayang Golek, Tari Helaran dan Tari Topeng. Peserta juga berpeluang mempelajari teknik permainan angklung. Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada pihak penganjur.

Pada hari berikutnya, program diteruskan dengan lawatan ke Muzium Sri Baduga, Bandung. Di sini, peserta menelusuri sejarah, sistem pendidikan dan latar budaya masyarakat Indonesia secara visual dan interaktif. Penerangan komprehensif oleh pegawai muzium memberi gambaran menyeluruh tentang sejarah dan tamadun Indonesia.

BRAINS’25 menutup tirainya dengan penyampaian cenderamata kepada pihak UTC Dago Hotel, disempurnakan oleh Dr. Mohd Farizal dan disaksikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Murtadha Mohamad selaku pengiring program. Penganjuran BRAINS’25 bukan sahaja membuka ruang untuk mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan akademik secara global, malah memupuk pemahaman mendalam tentang komuniti antarabangsa serta memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Oleh Nazhatul Aida Qysteena Rosli (Penulis), Nurul Amelyawati Ali Rofiq (Penyunting)

Explore More