May 24, 2025

GOMBAK, 18 Mei –Irama tradisional gamelan bergema megah di ruang acara apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) berganding bahu menganjurkan Program Perkongsian Budaya Gamelan: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) & Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) — satu inisiatif seni warisan yang mempertemukan dua institusi pengajian tinggi dalam semangat perpaduan dan apresiasi seni.

Program ini turut dianjurkan bersama oleh Bahagian Aktiviti & Pembangunan Pelajar (BAPP), Seksyen Kebudayaan & Oratori UTM, Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM Kuala Lumpur, Persatuan Kesenian Citra Daksina (PETERANA), Kelab Gamelan Alunan Sari UTM (GASARI), serta dengan kerjasama Kelab IIUM Gamelan Gema Gangsa dari Pusat Pembangunan Kelestarian Seni dan Budaya (CITRA), Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (STADD) IIUM.

Turut dijemput sebagai jurulatih ialah Ku Zahir Ku Ahmad, tenaga pengajar IIUM Gamelan Gema Gangsa dan mantan ahli muzik Orkestra Tradisional Malaysia, Istana Budaya, yang terkenal dengan gelaran “Cikgu Gamelan”.

Program dua hari yang berlangsung di IIUM Cultural Center (ICC) ini berjaya menghimpunkan lebih 60 pelajar dan pegawai dari kedua-dua universiti, terdiri daripada ahli GASARI UTM, pelajar kelas kokurikulum ULRF2402 Gamelan, serta ahli Kelab IIUM Gamelan Gema Gangsa. Para peserta menyertai bengkel dan persembahan kebudayaan yang menampilkan keindahan seni muzik gamelan Melayu.

Pengarah program, Mullah Muhammad Firhad, berkata bahawa kolaborasi ini merupakan pendekatan holistik dalam memperkukuh nilai perpaduan melalui kesenian serta ruang pembelajaran yang bermakna. “Program bengkel ini bukanlah sekadar mempelajari muzik – ia adalah peluang untuk kami meningkatkankan lagi usaha untuk memartabatkan warisan serta meningkatkan mutu pengurusan gerak kerja dalam kelab supaya boleh dibawa pulang ke UTM agar muzik gamelan ini lebih dikenali di masa akan datang. Apabila pelajar dari latar belakang dan universiti berbeza berganding bahu dalam satu irama, itu adalah aspirasi sebenar pendidikan berteraskan budaya,” ujar beliau.

Sesi temu bual bersama wartawan UTM Student Studio Club

Antara pengisian utama termasuk bengkel teknik asas gamelan, sesi perkongsian sejarah dan falsafah muzik gamelan Melayu, pengenalan teori muzik, konsep permainan Geta Mewarna, serta gaya persembahan gamelan kreatif.

Pelajar diberi peluang bermain alat gamelan secara langsung serta berkongsi pengalaman interaktif bersama pelatih dan tenaga pengajar berpengalaman

Program ini diakhiri dengan persembahan oleh pelajar UTM Kuala Lumpur yang membawakan lagu tradisional Timang Burung, diikuti persembahan lagu kontemporari oleh kedua-dua universiti; IIUM Gamelan Gema Gangsa dengan Cari-Cari Cuba Kau Cari dan Senandung Sang Cindai, manakala GASARI UTM mempersembahkan GASARI, Bengawan Solo, Dikir Puteri dan lain-lain. Kemuncaknya, kedua-dua kelab gamelan mempersembahkan lagu kolaborasi Overture di bawah bimbingan Cikgu Gamelan, Ku Zahir Ku Ahmad.

Persembahan oleh Kelab Gamelan Alunan Sari UTM (GASARI)
Persembahan oleh Kelab IIUM Gamelan Gema Gangsa bersama “Cikgu Gamelan”
Persembahan lagu Timang Burung oleh pelajar UTM Kuala Lumpur

Majlis penutup disempurnakan oleh Mohd Fauzi Abdul Rahman, Timbalan Pendaftar, Ketua Seksyen Kebudayaan & Oratori UTM, yang memuji usaha kedua-dua universiti dalam melestarikan seni tradisi melalui penglibatan pelajar. “Program seperti ini telah membuka mata saya bahawa seni persembahan gamelan boleh dipelbagaikan. Apabila saya melihat persembahan daripada IIUM dan UTM, saya berasa kagum dan teruja dan ini merupakan usaha yang jitu untuk saling mempelajari antara satu sama lain bukan sahaja melatih kemahiran seni, tetapi juga membina empati, toleransi dan semangat kekitaan – nilai-nilai penting dalam masyarakat majmuk hari ini,” katanya.

Bagi para pelajar, pengalaman ini bukan sahaja memperkaya ilmu tetapi membuka ruang pergaulan sihat dan penghargaan terhadap budaya negara. “Saya sangat terinspirasi. Hasil daripada persembahan tersebut telah membuatkan saya meremang kerana muzik gamelan ini ternyata bukanlah suatu seni yang patut dipandang rendah,” kata Nur Edleena Zulhusni, peserta dari UTM Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ku Zahir Ku Ahmad turut menyuarakan harapan agar program seperti ini diteruskan dan diperluaskan. “Harapan saya seni yang dicurahkan kepada peserta dapat dimanfaatkan kepada seluruh generasi muda demi memartabatkan seni dan budaya untuk selama-lamanya,” ujar beliau.

Program ini bukan sahaja memupuk minat terhadap seni warisan, malah membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam memperkasa budaya dan sinergi antara institusi pengajian tinggi.

Dengan semangat yang ditunjukkan para peserta dan penggiat seni, Program Perkongsian Budaya Gamelan: UTM & IIUM membuktikan bahawa warisan bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dihidupkan dan dikongsi. Semoga usaha ini menjadi langkah awal ke arah jaringan seni budaya yang lebih kukuh di peringkat institusi dan kebangsaan.

Explore More