Marrakech, 30 Mei 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh jalinan globalnya menerusi pemeteraian dua kerjasama strategik dengan dua institusi pendidikan tinggi terkemuka di Morocco, iaitu Université Sultan Moulay Slimane dan Université Cadi Ayyad.
Majlis menandatangani dokumen kerjasama ini berlangsung dengan penuh bersejarah di Marrakech, disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama Presiden Université Sultan Moulay Slimane, Prof. Khalid Mehdi, dan Presiden Université Cadi Ayyad, Prof. Blaïd Bougadir.
Kerjasama ini menandakan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan akademik antarabangsa melalui pelbagai bidang kolaborasi strategik termasuk pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan bersama, pembangunan kapasiti akademik, serta penglibatan dalam platform global yang menjunjung nilai keterangkuman dan inovasi rentas budaya.
Inisiatif ini turut menyokong aspirasi UTM untuk memainkan peranan penting dalam memperluas impak pendidikan tinggi Malaysia di persada antarabangsa, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, ilmu dan pembangunan lestari.
Dalam ucapan beliau, Prof. Dr. Mohd Shafry menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua universiti atas sambutan mesra dan keterbukaan dalam membina sinergi bersama. Beliau menyatakan bahawa kolaborasi ini bukan sahaja akan memperkukuh kapasiti institusi masing-masing, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ilmu yang bersifat global dan memberi manfaat kepada masyarakat sejagat.
“Melalui kerjasama ini, kita meletakkan asas kepada ekosistem akademik yang bukan sahaja berpaksikan kecemerlangan intelektual, tetapi juga kepada nilai kemanusiaan dan kesejahteraan bersama,” katanya.
UTM sentiasa komited dalam memperluas jaringan strategik antarabangsa sebagai sebahagian daripada agenda pemacuan universiti ke arah menjadi institusi berimpak global. Kejayaan ini juga mencerminkan kekuatan jenama UTM dalam membina kepercayaan dan kerjasama dengan institusi rakan di pelbagai rantau dunia.
Kerana Tuhan Untuk Manusia,
UTM Menginovasi Penyelesaian Lestari