KUCHING, 27 Mei – Inisiatif Kenyalang Journey Awaits 2025 (KEJORA’25) anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Dr. Ismail (JKP KTDI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya memperkukuh jaringan serantau melalui pelbagai program pendidikan, komuniti, kebudayaan dan inovasi teknologi di Sarawak.
Program ini melibatkan kolaborasi antara tiga universiti serantau iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universitas Tanjungpura (UNTAN), Pontianak, Indonesia. Ia telah menghimpunkan lebih 30 mahasiswa, pensyarah, komuniti setempat dan pelajar sekolah dalam satu semangat keterlibatan rentas sempadan.
Antara pengisian utama ialah slot “Engineering Insights”, sebuah platform perkongsian ilmu yang menampilkan inovasi Geopolymer Concrete (G-Easyment) dari UTM, potensi Green Hydrogen dari UNIMAS dan Tengkawang Oil-Based Sunscreen dari UNTAN. Perkongsian ini membuka ruang kolaborasi akademik serta menginspirasikan mahasiswa untuk meneroka penyelidikan bertaraf antarabangsa.

Sebagai menyokong agenda penglibatan industri dan alumni, delegasi KEJORA’25 turut mengadakan lawatan ke syarikat Kek Lapis Warisan Sdn. Bhd. milik Dr. Hafeezi Datuk Abdullah, Alumni UTM. Melalui sesi perkongsian ringkas dan aktiviti membuat kek lapis secara langsung, peserta mendapat pendedahan tentang dunia keusahawanan serta nilai warisan tempatan yang terus relevan di pasaran.
Bukan itu sahaja, peserta KEJORA’25 turut mengadakan lawatan kebajikan ke Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah dalam usaha menyemai empati dan nilai kemanusiaan. Aktiviti interaktif seperti pengajaran tarian tradisional Zapin dan Dikir Barat oleh peserta KEJORA’25 menceriakan penghuni rumah perlindungan tersebut.

Sementara itu, program “Cempaka Cultural Exchange Night” menjadi platform untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya serantau melalui persembahan khas daripada ketiga-tiga universiti. UTM mempersembahkan tarian Zapin Mahpom dan Dikir Barat, persembahan Medley dari UNTAN serta peragaan busana etnik Sarawak dan alunan sape dari UNIMAS. Ia bukan sahaja meraikan keindahan seni warisan, malah mengukuhkan semangat kebersamaan antara tiga universiti serumpun.

Program “Joh Rewang Rasa Borneo” pula menyatukan tiga budaya serumpun menerusi seni kulinari. Wakil UTM memperkenalkan Laksa Johor, UNTAN pula membawa hidangan mee sagu dari Kalimantan Barat manakala UNIMAS menyajikan ayam pansuh. Aktiviti ini bukan sekadar memasak, tetapi turut menjadi ruang bertukar cerita dan warisan.
KEJORA’25 turut memperkukuh jalinan antara mahasiswa dan komuniti melalui Sambutan Hari Gawai di Kampung Mongkos. Peserta bukan sahaja menyaksikan persembahan kebudayaan oleh kaum Bidayuh seperti Tarian Buluh dan Langgi Pingadap, malah turut merasai pengalaman “ngabang” iaitu kunjung-mengunjung dari rumah ke rumah sempena perayaan Gawai.

Dalam aspek pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), program “NextGen Reality: the AR & VR World” berjaya memupuk minat 99 pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching terhadap dunia digital dan teknologi interaktif. Mereka diberi peluang meneroka Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR) secara interaktif di bawah bimbingan fasilitator UTM.

Menurut Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail, ChM. Dr. Mohd Akmali Mokhter, KEJORA’25 telah berjaya memperkukuh jalinan komuniti, memupuk empati serta membuka peluang kerjasama serantau. Ia turut mencerminkan nilai kepelbagaian dan kehidupan berbilang kaum, memberi ruang kepada mahasiswa untuk memahami keunikan budaya tempatan, mengembangkan potensi kepimpinan dan memperkukuh imej universiti di persada antarabangsa.