BANDUNG, 21 Mei – Kolej Dato’ Onn Jaafar (KDOJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universitas Padjadjaran (UNPAD), Institut Pertanian Bogor (IPB), Universitas Gadjah Mada dan Asosiasi Perlebahan Indonesia (API) buat julung kalinya mengadakan seminar dan pameran perlebahan nasional sempena World Bee Day 2025.
Penganjuran seminar dan pameran perlebahan yang berlangsung selama 2 hari bersempena World Bee Day 2025 ini, bukan sahaja menjadi tumpuan golongan pensyarah dan penyelidik daripada pelbagai universiti ternama di Indonesia bagi mempergiat kajian-kajian terhadap kitaran kehidupan lebah secara saintifik, malah penganjuran ini juga berjaya menjadi platform dalam aspek usahawan komuniti bagi golongan masyarakat yang berminat untuk membangunkan atau memperluas kegiatan penternakan lebah.
Penganjuran World Bee Day 2025 kali ini mengangkat tema The Role of Bees and Wasps in Degenerative Agriculture and Health, yang menjadi agenda serampang dua mata dalam konteks pembangunan akademia dan dasar negara. Menurut Ketua Badan Perancangan Strategi Makanan Bergizi Indonesia, Dr. Ir. Dadan Hindayana, penganjuran kali ini bukan sahaja merupakan sebuah mandat dalam mempergiat usaha pembangunan aktiviti perlebahan secara menginovasikan teknologi, malah menjadi visi dan misi untuk kerajaan Indonesia meningkatkan dan melestarikan program makanan bergizi dengan menggunakan madu sebagai elemen utama makanan.
Justeru, penglibatan Pengetua KDOJ, Dr. Mohd Amri Md Yunus dalam penganjuran kali ini adalah bertujuan untuk bersinergi secara kolaboratif melalui pemindahan pengetahuan. Di kesempatan ini, Dr. Amri Md Yunus, dijemput untuk memberikan ucaptama berkenaan pendigitalan dalam penternakan lebah, seterusnya memperkenal sistem yang dibangunkan sendiri olehnya iaitu sistem Electronic Meliponini Advanced System (EMAS).

Sistem EMAS ini merupakan sebuah inovasi dalam pengurusan peternakan lebah kelulut. Sistem EMAS berkapasiti bukan sahaja untuk merekodkan maklumat-maklumat asas sesebuah haif kelulut, malah sistem ini dilengkapi dengan fungsi untuk merekodkan hasil tuaian dan penyelenggaran haif. Hal ini secara tidak langsung, dapat memantau aktiviti tuaian hasil dan mengenal pasti mana-mana haif kelulut yang memerlukan bantuan penyelenggaraan bagi mengelakkan koloni lebah tersebut punah.

Delegasi KDOJ juga sempat melakukan lawatan ke Sentul Eco Edu Tourism Forest yang dibangunkan dengan kerjasama kerajaan Indonesia-Korea. Di pusat ini, terdapat kawasan penternakan lebah bagi tujuan pendidikan dan kajian kesihatan seperti terapi sengat lebah.

Lantaran itu, Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) KDOJ melihat situasi ini sebagai satu bentuk peluang yang boleh menjadi batu loncatan untuk kedua-dua pihak iaitu KDOJ dan API bagi memampankan sinergi dalam aspek pembangunan kelulut secara lestari. Oleh itu, seminar ini dijadikan sebagai fasa 1 bagi program 1 Kolej 1 ASEAN (1K1A). Secara tidak langsung, penganjuran ini telah berjaya menyahut dan mengangkat aspirasi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTM untuk mewujudkan kerjasama antara Malaysia dan negara-negara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang lain.

Bagi memastikan jalinan kerjasama yang dirangka ini diteruskan dengan jayanya, maka beberapa fasa kehadapan bagi 1K1A KDOJ telah dirangka selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) agar penganjuran program ini dapat memberikan impak secara holistik. Antara matlamat yang diangkat dalam penganjuran ini adalah Kelaparan Sifar (SDG 2), Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Industri, Inovasi dan Infrastruktur (SDG 9), Tindakan terhadap Perubahan Iklim (SDG 13) dan Perkongsian untuk Matlamat (SDG 17).
Diharapkan kerjasama antarabangsa ini, bukan sahaja, melahirkan impak yang sangat bermanfaat terhadap kelestarian alam sekitar serantau melalui budi daya memupuk kesedaran bersama masyarakat akan pentingnya peranan lebah kelulut dalam pendebungaan dan pemuliharaan biodiversiti, malah ianya dapat menjana ekonomi lestari dengan merangsang pembangunan industri kelulut sebagai sumber ekonomi alternatif yang mampan untuk komuniti luar bandar dan belia tani. Besar harapan juga terhadap program ini dapat memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar dalam aspek keusahawanan sosial, pertanian lestari dan sekali gus meningkatkan keterlihatan UTM dan KDOJ sebagai institut pembangunan ilmu dan budaya lestari
