June 13, 2025

Para peserta "The Borneo Bounce" sedang mempelajari Tarian Magunatip

Karnival MECAR’25 platform mahasiswa serlah kepimpinan dan kemanusiaan

JOHOR BAHRU, 18 Mei — Merbauan Carnival 2025 (MECAR ’25), anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah melabuhkan tirainya dengan penuh bermakna apabila berjaya menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada Tabung Palestin melalui MyCare, hasil daripada program MECAR Run “HEARTBEAT 4 HOPE” yang berlangsung meriah dengan penyertaan ratusan pelajar dan masyarakat setempat.

Peserta Heartbeat 4 Hope memulakan larian di garisan permulaan
Peserta Heartbeat 4 Hope memulakan larian di garisan permulaan

MECAR ’25 turut membawa nafas segar dengan mengetengahkan tema kebudayaan dan kesejahteraan sejagat. Salah satu tumpuan utama ialah penghayatan terhadap keunikan budaya Borneo menerusi pelbagai program seperti Bengkel Tarian Tradisional Borneo “The Borneo Bounce” serta pertandingan KTHO Got Talent yang menonjolkan persembahan berunsur etnik Sarawak dan Sabah daripada pelajar.

Para peserta "The Borneo Bounce" sedang mempelajari Tarian Magunatip
Para peserta “The Borneo Bounce” sedang mempelajari Tarian Magunatip

Dalam usaha memperkasa potensi mahasiswa, MECAR ’25 turut menjadi platform keusahawanan pelajar dengan menyediakan ruang perniagaan bagi mereka memasarkan produk dan menawarkan perkhidmatan. Peluang ini bukan sahaja memperlihat semangat keusahawanan generasi muda, malah membudayakan nilai berdikari dalam kalangan pelajar UTM.

Sesi fotografi selepas Forum "Mind Matters: Overcoming Imposter Syndrome" bersama barisan panel, Prof. Siti Aisyah dan Dr. Farah Adibah
Sesi fotografi selepas Forum “Mind Matters: Overcoming Imposter Syndrome” bersama barisan panel, Prof. Siti Aisyah dan Dr. Farah Adibah

Aspek kesejahteraan pelajar turut diberi perhatian menerusi penganjuran aktiviti seperti Forum Mind Matters “Overcoming Imposter Syndrome”, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama KPJ Johor Specialist Hospital, serta penganjuran Sukan Rakyat yang menyatukan warga kampus dalam suasana penuh harmoni dan nostalgia desa.

Salah seorang pelajar UTM sedang menderma darah
Salah seorang pelajar UTM sedang menderma darah

Penganjuran MECAR ’25 juga memperlihat sinergi strategik merentas agensi, industri dan komuniti, bersama MyCARE, Gamuda, Yum Yum, Alfarabi Academy, Yakult Malaysia, TV Sarawak (TVS), TopBaker, Amani Printing Shop, First Grid Mini Mart, serta komuniti setempat dalam menjayakan pelbagai pengisian bersifat inklusif.

Karnival selama tiga hari ini telah menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran ribuan pengunjung dari dalam dan luar UTM, termasuk pelajar antarabangsa yang turut sama memeriahkan program.

Sementara itu, MECAR ’25 turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA), Prof. Dr. Ali Selamat pada hari ketiga program. Kedua-dua pimpinan tertinggi universiti ini turut meluangkan masa menyertai sebahagian daripada aktiviti Sukan Rakyat Mahasiswa (SUKRAM), sebelum beramah mesra bersama barisan ahli jawatankuasa serta para peserta yang memeriahkan MECAR.

Para pelajar KTHO dilihat sedang bergambar bersama Naib Canselor UTM dan TNCHEPA UTM
Para pelajar KTHO dilihat sedang bergambar bersama Naib Canselor UTM dan TNCHEPA UTM

Pengetua KTHO, Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin, ketika ditemubual menzahirkan rasa bangga atas usaha dan komitmen pelajar. “MECAR ‘25 bukan sahaja platform melatih pelajar menjadi pemimpin dan penggerak masyarakat, malah menjadikan mereka ejen perubahan yang cakna terhadap isu sejagat seperti Palestin, dan pada masa yang sama menghargai akar budaya tempatan,” ujar beliau.

Penganjuran MECAR ’25 mencerminkan aspirasi UTM dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang daripada segi akademik dan sahsiah; serta diperkasakan dengan adab, nilai dan jati diri. Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasa sebagai platform pembangunan holistik mahasiswa, di samping menyemai semangat kesukarelawanan, kepimpinan serta keprihatinan terhadap masyarakat.

Explore More