KLUANG, 23 Mei – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membangunkan satu inovasi terbaru yang dinamakan Bee Modular Box atau BMB, sebuah kotak sarang lebah yang direka khas bagi merevolusikan usaha konservasi populasi lebah di Malaysia. Inovasi ini muncul pada tahun 2019 sebagai jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan komuniti setempat berkaitan dengan penurunan populasi lebah yang semakin membimbangkan akibat faktor seperti kehilangan habitat, pencemaran dan perubahan iklim.
Ketua Penyelidik yang mengetuai projek BMB, Dr. Mohd. Khairudin Ramliy berkata inovasi ini dibangunkan dengan ciri-ciri yang memudahkan pemantauan dan pengurusan terhadap lebah secara lebih efisien dan lestari.
“Matlamat utama pembangunan BMB adalah bagi menggantikan sarang konvensional yang dihasilkan daripada blok kayu yang tidak lestari serta mengancam alam sekitar.
“Inovasi ini dihasilkan dari campuran konkrit khas yang membolehkannya bertahan sehingga 20 tahun sekali gus menyelesaikan masalah penyediaan sarang konvensional yang tidak mesra alam dan mengganggu proses ekosistem pembiakan lebah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS) di Pusat Ternakan Kelulut Moden bertempat di Gunung Lambak, Kluang, Johor. Wawancara ini dijalankan bersempena dengan sambutan Hari Lebah Sedunia (World Bee Day) 2025 yang disambut secara global setiap 20 Mei setiap tahun.

Menurut Dr. Khairudin lagi, kekuatan BMB yang tahan dan senang diselenggara ini dapat memberikan keselesaan kepada lebah dan membolehkan serangga itu memberikan tumpuan kepada mencari makanan dan menjaga koloni masing-masing.
“Berbanding sarang konvensional yang tidak tahan kepada suhu lembab dan panas, BMB menawarkan keselesaan kepada lebah sehingga membolehkan serangga itu mengekalkan habitat asalnya.
“Penggunaan BMB ini juga mampu membantu lebah untuk lebih produktif dalam menghasilkan madu yang dapat diekstrak setiap bulan berbanding hanya tiga bulan setahun jika menggunakan sarang konvensional,” katanya lagi.
Selain menawarkan ketahanan maksimum, BMB yang dibangunkan dalam reka bentuk modular ini membenarkan penggantian atau penambahan bahagian tertentu tanpa mengganggu keseluruhan struktur sekali gus memudahkan penyelenggaraan dan meningkatkan produktiviti lebah.
“Pembangunan Bee Modular Box ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mempromosikan pertanian lestari dan konservasi biodiversiti. Dengan kemudahan ini, petani dan penyelidik dapat memantau dan mengurus koloni lebah dengan lebih berkesan, sekali gus membantu dalam meningkatkan populasi lebah yang sangat penting dalam ekosistem dan pengeluaran madu,” katanya.
Inovasi ini turut mendapat perhatian daripada pihak kerajaan dan organisasi pemuliharaan, yang melihat potensi besar Bee Modular Box dalam program-program konservasi lebah di seluruh negara.
“Sebanyak 100 buah BMB diletakkan di sekitar Gunung Lambak dan diusahakan secara kolaborasi strategik antara UTM dan Koperasi Kakitangan Majlis Perbandaran Kluang (MPKOP).
“Selain penghasilan madu secara komersial, sebuah Makmal Satelit juga telah didirikan di lokasi sama yang berfungsi sebagai pusat kajian dan pengkomersilan Kelulut Gunung. Makmal ini berfungsi sebagai tempat simpanan hasil kutipan madu selain membotolkan madu yang ingin dijual,” katanya.

Pembangunan Bee Modular Box oleh penyelidik UTM termasuk dalam kategori Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berkaitan dengan SDG 15: Kehidupan di Darat. Matlamat ini menumpukan kepada perlindungan, pemuliharaan, dan penggalakan penggunaan ekosistem darat serta biodiversiti, termasuk pemeliharaan populasi lebah yang merupakan pollinator penting dalam ekosistem dan pertanian.
Selain itu, pembangunan ini juga menyokong SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, kerana ia mempromosikan penggunaan bahan yang tahan lama dan inovatif dalam pertanian dan pengurusan sumber semula jadi secara lestari.
Oleh itu, secara utama, pembangunan Bee Modular Box menyumbang kepada SDG 15 dan juga menyokong aspek-aspek SDG 12 dalam usaha memastikan pengurusan sumber yang bertanggungjawab dan memelihara biodiversiti lebah.


