May 22, 2025

Featured Image NewsHub Dr Halim Hari Guru

Guru pemacu pembaharuan: Harapan dan realiti pendidikan era baharu

Dewasa ini, guru berperanan penting dalam merealisasikan perubahan landskap pendidikan di Malaysia lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan revolusi digital yang semakin pesat berkembang. Selari dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini; ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, mereka mempunyai tanggungjawab bukan sahaja untuk menyebarkan maklumat tetapi juga untuk bertindak sebagai pemacu pembaharuan atau reformasi terhadap pendidikan yang akan membentuk generasi pada masa akan datang.

Dengan perkembangan pesat teknologi dan keperluan pasaran kerja global, kaedah pendidikan perlu menjadi lebih kreatif dan fleksibel. Golongan pendidik perlu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi seperti kemahiran digital yang semakin meningkat dalam pasaran kerja, dan kecerdasan buatan (AI). Untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran mereka, guru perlu mengintegrasikan teknologi digital dalam pendidikan, seperti platform pembelajaran maya, aplikasi pintar, dan pembelajaran adaptif dalam menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi. Selain itu, gamifikasi dan pendekatan pembelajaran berasaskan projek dilihat semakin relevan kerana ia menggalakkan pembelajaran interaktif, kolaboratif dan berpusatkan murid. Hal ini penting untuk menghasilkan modal insan yang lebih bersedia bagi menempuhi dunia kerjaya yang sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa.

Pembangunan kepimpinan pendidikan masa hadapan juga merupakan perkara utama untuk menangani cabaran ini. Penstrukturan semula sistem prasekolah dan kurikulum baharu persekolahan untuk 2027 adalah antara usaha signifikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang kini dalam proses untuk dilaksanakan. Untuk memastikan guru sentiasa relevan apabila menghadapi perubahan dalam dunia pendidikan, penekanan seharusnya diberikan kepada program pembangunan profesionalisme berterusan sepertimana pelan pendidikan baharu yang akan memberi tumpuan kepada peningkatan latihan guru menurut Menteri Pendidikan baru-baru ini.

Sementara itu, pewujudan Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4) yang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan untuk memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta meningkatkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua dilihat sebagai satu langkah yang signifikan dalam menyokong agenda reformasi pendidikan global, sekali gus menuntut komitmen berterusan daripada semua negara, termasuk Malaysia, untuk memperkasa peranan guru sebagai tonggak utama dalam mencapai matlamat berkenaan.

Dalam era globalisasi ini, guru memainkan peranan penting terhadap ancaman global seperti transformasi digital, perubahan iklim, dan dinamik ekonomi dalam memacu pembaharuan, inovasi dan ketahanan sistem pendidikan. Kini, polisi pendidikan negara Malaysia memberi perhatian utama kepada bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan transformasi digital. Dasar Pendidikan STEM Malaysia telah menjadi tunjang kepada usaha pembaharuan pendidikan, dengan objektif untuk memperkukuh kecekapan murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Selain itu, KPM bersama Yayasan PETRONAS telah menerbitkan Program Duta Guru yang bertujuan merapatkan jurang antara pendidikan bandar dan luar bandar. Program ini memberi latihan kepada lebih 4,500 guru agar mereka menjadi duta STEM. Bukan itu sahaja, sejumlah dana tertentu diperuntukkan dalam pembentangan Belanjawan setiap tahun untuk menambah baik infrastruktur dan peralatan sekolah. Usaha ini memperlihatkan pendekatan menyeluruh ke arah melahirkan generasi inovatif yang bersedia menghadapi masa depan yang lebih mencabar, yang mana ia bermula dengan guru yang berwibawa dan berdaya saing.

Seiring dengan pembangunan STEM, Malaysia kini sedang melalui perubahan besar dalam pendidikan digital, menandakan era baharu dalam bilik darjah. Sekolah di seluruh negara ada antaranya kini menggantikan papan hitam dan papan putih kepada papan pintar (smartboard) yang dapat meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik dengan sokongan Dasar Pendidikan Digital Negara yang memfokuskan kepada celik digital dalam kalangan murid dan pendidik. Selain itu, KPM telah melancarkan Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) untuk membantu guru dalam mendapatkan bahan latihan, kursus dan sumber-sumber pembelajaran sepenuhnya secara sistematik dan efisien. Tambahan pula, platform seperti DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) membolehkan akses kepada pelbagai alat pembelajaran seperti Google Classroom, Microsoft 365 dan Apple, yang dapat menyokong pengajaran berasaskan teknologi. Semua usaha ini jelas menunjukkan para guru terus diperkasa agar berdaya tahan dan bersedia menongkah cabaran pendidikan masa kini.

Guru kini turut menyahut seruan kerajaan yang memberi fokus terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia dalam membentuk tenaga kerja masa hadapan yang seiring dengan keperluan Revolusi Industri 4.0. TVET tidak lagi dilihat sebagai pendidikan alternatif, tetapi sedang dibangunkan supaya setaraf dengan pendidikan akademik melalui sokongan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Sekali lagi, sebagai barisan hadapan, guru seharusnya memastikan dasar ini dilaksanakan secara berkesan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, menarik lebih ramai murid ke dalam aliran kemahiran, dan menjadikan TVET sebagai teras kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Walaupun tema Hari Guru 2025 ialah Guru Pemacu Reformasi Pendidikan, hakikatnya, profesion perguruan di Malaysia masih menghadapi pelbagai cabaran yang perlu diatasi untuk merealisasikan reformasi pendidikan yang sebenar. Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh guru ialah beban tugas yang semakin meningkat. Selain mengajar, guru juga perlu menyiapkan dokumen pentadbiran, menghadiri mesyuarat, menguruskan aktiviti kokurikulum, dan tugas-tugas yang lain. Beban kerja ini boleh menyebabkan guru kurang fokus kepada pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti, sedangkan mereka sepatutnya lebih memfokuskan inisiatif bagi merealisasikan reformasi pendidikan.

Guru juga masih perlu meluangkan masa dan tenaga untuk menangani isu disiplin, sedangkan mereka sepatutnya lebih menumpukan perhatian kepada pembangunan akademik dan sahsiah murid. Reformasi pendidikan menekankan penggunaan teknologi dalam pembelajaran, namun masih ada guru yang menghadapi kesukaran untuk mengadaptasi teknologi baharu, terutamanya di kawasan luar bandar yang kurang kemudahan internet dan peranti digital.

Tuntasnya, sebagai agen perubahan dalam ekosistem pendidikan, golongan pendidik sememangnya merupakan pemacu reformasi pendidikan negara. Namun, perubahan itu memerlukan sokongan semua pihak. Guru perlu terus diperkasa sebagai pencipta, pemimpin, dan pembentuk masa depan negara dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, komuniti pendidikan, dan masyarakat. Sistem pendidikan negara hanya boleh kekal relevan, progresif dan mampu melahirkan modal insan bertaraf dunia dengan adanya komitmen dan keberanian untuk mengalami perubahan ke arah kemajuan yang lebih baik.

 

Penulisan ini dihasilkan secara bersama oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Profesor Madya dalam bidang pendidikan Matematik di Jabatan Pendidikan Sains dan Matematik Inovatif, Fakulti Sains Pendidikan dan Tekonologi (FEST) UTM, Angela Ee Si Jie dan Ahmad Adib Rosdi, kedua-duanya merupakan Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Pendidikan (Matematik) Dengan Kepujian, di bawah fakulti yang sama.

Explore More