June 11, 2025

CSR Alam Sekitar semarak kesedaran hijau komuniti PPR Desa Rejang

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Program CSR Alam Sekitar Menuju Kelestarian Hijau, dengan kerjasama Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Siswa Jaya (JKP KSJ), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), SWCorp, Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN), Ali Maju, Persatuan Biro Wanita, Persatuan Kebajikan Insan Istimewa Jati Diri (PERJATI), dan Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS), telah berjaya dianjurkan bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan amalan gaya hidup mampan. Program ini diketuai oleh Pengarah Program, Salma Annis Abdul Rahman.

Majlis perasmian telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada 21 April 2025, dan disempurnakan oleh Dr. Mohamed Azlan Suhot, menandakan permulaan rasmi kepada siri program CSR ini. Pada malam yang sama, satu Taklimat Penjimatan Tenaga Elektrik telah disampaikan oleh En. Saiful Sukri Suarni, Jurutera dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), yang berkongsi langkah-langkah praktikal bagi mengurangkan penggunaan elektrik, menjimatkan kos, serta mengurangkan jejak karbon terhadap alam sekitar.

Majlis perasmian CSR alam sekitar

Sebelum itu, Aktiviti Pengumpulan Barang Kitar Semula telah dilaksanakan pada 20 April 2025, dengan kehadiran lori Alam Flora bagi mengutip bahan kitar semula daripada penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang. Aktiviti ini dijalankan secara kolaboratif bersama komuniti setempat. Hasil kutipan sangat memberangsangkan, mencapai 679.50 kg, terdiri daripada minyak masak terpakai, plastik, kotak, tin, dan besi.

Bagi melengkapkan inisiatif secara bersepadu, Bengkel Pembuatan Sabun turut diadakan di Foyer A, KSJ, Kuala Lumpur. Bengkel ini disampaikan oleh Ts. Dr. Zatil Izzah, Pensyarah MJIIT UTM Kuala Lumpur dan Penasihat Program CSR, yang berkongsi teknik menghasilkan sabun menggunakan minyak masak terpakai sebagai bahan asas, sekali gus memberi nilai tambah terhadap amalan kitar semula dalam kalangan komuniti.

Program Kampen Kitar Semula Barangan Terpakai di PPA Desa Rejang

Kempen “No Plastic Day” pula dijalankan selama seminggu, dari 21 hingga 27 April 2025, disasarkan kepada pelajar Kolej Siswa Jaya. Sepanjang tempoh tersebut, pelajar digalakkan untuk tidak menggunakan bungkusan plastik. Sebagai insentif, markah merit diberikan setelah peserta memuat naik bukti penyertaan melalui borang ‘Google Form’.

Sementara itu, program “Earth Hour” telah dilaksanakan secara dalam talian pada 23 April 2025, dengan pelajar diminta memadamkan lampu di rumah masing-masing pada waktu yang ditetapkan sebagai simbolik sokongan terhadap usaha mitigasi perubahan iklim. Bukti penyertaan turut dihantar melalui ‘Google Form’.

Program diteruskan dengan aktiviti Explorace pada 24 Mei 2025. Aktiviti ini direka khusus untuk kanak-kanak PPR Desa Rejang sebagai pendekatan interaktif dan menyeronokkan bagi meningkatkan pemahaman mereka tentang penjagaan alam sekitar secara santai, praktikal dan penuh keseronokan.

Bersama peserta pada Majlis Penutup CSR Alam Sekitar
Peserta dan pemenang program explorasi peringkat kanak-kanak
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program Explorace

Program CSR Alam Sekitar ini telah memberi impak positif yang menyeluruh kepada masyarakat, dengan penglibatan aktif ibu bapa dan anak-anak. Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar, malah turut menggalakkan pelajar untuk terlibat secara langsung dalam usaha menyokong kelestarian bumi melalui kerjasama komuniti yang bermakna.

Oleh Faiszul Farhan bin Zainal dan Nur Uzma Umaira Awang Harisfadillah

Explore More