May 23, 2025

Bagaimana menjadi seorang yang berfikiran positif ?

Dalam kehidupan yang serba mencabar hari ini, ramai antara kita sering dibebani dengan tekanan, keraguan dan fikiran yang menakutkan. Dunia bergerak pantas dan tuntutan hidup yang pelbagai sering kali menggugat ketenangan minda. Justeru, memiliki pemikiran yang positif bukanlah satu pilihan, tetapi satu keperluan.

Pemikiran positif bukan semata-mata tentang “berfikir yang baik-baik”, tetapi lebih kepada satu proses transformasi dalaman yang perlu dipupuk dengan kesedaran, ilmu dan disiplin diri. Menjadi seorang pemikir yang positif bermakna kita mempunyai keupayaan untuk menilai sesuatu situasi secara rasional, melihat peluang dalam cabaran dan tidak mudah tenggelam dalam emosi yang melemahkan.

Langkah pertama untuk menjadi seorang yang berfikiran positif ialah dengan membina kesedaran bahawa segala perubahan bermula dari dalam diri sendiri. Kita tidak boleh menunggu keadaan luar menjadi sempurna sebelum memulakan perubahan dalaman. Fikiran kita harus diasuh supaya sentiasa melihat sisi positif dalam setiap situasi. Bayangkan minda kita seperti taman bunga. Jika dibiarkan tanpa penjagaan, semak samun akan tumbuh dan merosakkan keindahannya. Sebaliknya, jika kita menjaga taman itu – menyiramnya dengan fikiran yang sihat dan membuang ‘rumput liar’ berupa pemikiran negatif, ia akan menjadi sumber ketenangan dan kekuatan dalaman. Jangan biarkan minda menjadi hutan belantara yang gelap dan menakutkan.

Sikap syukur adalah antara asas utama kepada pemikiran positif. Melatih diri untuk menghargai perkara kecil dalam hidup akan membentuk minda yang lebih tenang dan seimbang. Setiap malam, amalkan refleksi diri atau muhasabah: “Apakah tiga perkara baik yang aku lakukan hari ini?” Soalan mudah ini akan membantu kita fokus pada pencapaian kecil tetapi memberi erti yang besar. Pada masa yang sama, berbicara dengan diri sendiri secara positif juga penting. Elakkan ucapan dalaman yang melemahkan seperti “aku tak boleh”, “aku gagal”, atau “aku tak layak”. Tukarkan kepada skrip yang membina seperti “aku sedang belajar”, “aku boleh mencuba lagi” dan “aku berhak untuk berjaya”.

Salah satu punca fikiran menjadi negatif ialah apabila kita terlalu memberi perhatian kepada pandangan atau kritikan orang lain. Kita hanya perlu mengambil maklum balas yang membina dan tidak membiarkan komen negatif meracuni fikiran kita. Setiap individu mempunyai perjalanan hidup yang berbeza. Fokus pada perkembangan diri sendiri dan jangan terlalu membandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita berkembang dari hari ke hari.

Mentor yang baik dan berjaya bukan sahaja menjadi sumber inspirasi, malah boleh membantu kita melihat ‘blind spot’ dalam diri sendiri – iaitu perkara-perkara yang kita tidak sedar dan menghalang kemajuan diri. Mentor juga membantu kita untuk keluar daripada sistem kepercayaan negatif yang telah lama tertanam dan menggantikannya dengan kepercayaan baharu yang lebih membina.

Pemikiran positif mesti disusuli dengan tindakan. Tanpa tindakan, semua niat dan azam hanyalah sekadar angan-angan. Kita perlu mengambil langkah konkrit untuk mengubah corak hidup, keluar dari zon selesa dan mencuba perkara baharu yang mencabar minda dan emosi. Membaca buku motivasi, menghadiri bengkel pembangunan diri, menulis jurnal, menonton podcast yang bermanfaat atau sekadar menulis impian dan pelan tindakan juga merupakan sebahagian daripada langkah proaktif untuk memperkasa pemikiran.

Persekitaran sangat mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak. Berkawan dengan individu yang positif, bersemangat dan membina akan menjadikan kita lebih kuat secara mental dan emosi. Elakkan mereka yang suka merungut, mengeluh atau sentiasa pesimis kerana aura mereka boleh ‘menular’ kepada kita tanpa sedar.

‘Travel light in life’ – jangan membawa beban negatif. Kehidupan ini lebih ringan jika kita tidak membawa beban emosi seperti dendam, kesedihan lampau atau rasa bersalah yang berpanjangan. Belajar untuk melepaskan dan memaafkan akan membantu kita bergerak lebih jauh dan lebih pantas ke hadapan.

Kita perlu jelas dengan tujuan hidup. Apakah nilai dan prinsip yang kita pegang? Ke mana arah yang ingin kita tuju? Dengan mengetahui ‘True North’ atau arah kompas diri kita, maka kita tidak mudah terpengaruh dengan arus negatif di sekeliling. Matlamat yang jelas akan membentuk keteguhan fikiran, terutama dalam saat yang sukar.

Berpegang kepada ‘SNAKE’ – lima elemen penting untuk membina minda positif dan kejayaan hidup:

SSkill (Sentiasa tingkatkan kemahiran)

NNetworking (Wujudkan network sokongan yang sihat)

AAttitude (Sikap yang positif adalah separuh daripada kejayaan)

KKnowledge (Terus belajar dan cari ilmu baharu)

EExperience (Mencari pengalaman sebanyak yang mungkin)

Yang paling penting, tiada jalan pintas dalam hidup. Setiap kejayaan yang tulen dibina atas usaha, kesabaran dan kesanggupan seseorang untuk melalui proses pembelajaran.

Menjadi seorang pemikir yang positif bukanlah satu perkara yang mustahil. Ia boleh dibina selangkah demi selangkah melalui latihan kendiri, ilmu, bimbingan dan sokongan persekitaran yang betul. “Jika kita tidak mengubah cara kita berfikir, kita akan kekal di tempat yang sama.” Mulakan daripada hari ini dengan langkah kecil, dengan niat untuk menjadi insan yang lebih positif, lebih seimbang dan lebih berjaya.

Explore More