KUALA LUMPUR, 30 April – Seramai 19 pelajar Tingkatan 5 aliran Reka Cipta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jinjang telah menyertai Bengkel AutoCAD: Pemantapan Pemahaman dan Kemahiran Proses Rekabentuk anjuran Program Pemindahan Ilmu (KTP) di bawah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Bengkel sehari penuh yang berlangsung di Makmal Komputer Pentium, UTM Kuala Lumpur ini bertujuan memberi pendedahan awal dan latihan praktikal dalam penggunaan perisian AutoCAD. Menerusi bengkel ini, para pelajar berpeluang menguasai teknik asas perisian reka bentuk berbantukan komputer serta mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam projek Reka Cipta mereka, selaras dengan keperluan kurikulum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini sekali gus membantu meningkatkan tahap pemahaman dan kecekapan mereka dalam menghasilkan lukisan teknikal yang tepat dan profesional.
Inisiatif ini mencerminkan usaha kolaboratif antara universiti dan sekolah bagi merapatkan jurang kemahiran digital dalam kalangan pelajar. Selain membuka ruang pembelajaran baharu kepada pelajar sekolah, program ini turut memberi peluang kepada mahasiswa UTM yang terlibat sebagai fasilitator untuk mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pengajaran secara langsung.

Sepanjang bengkel, pelajar didedahkan kepada antaramuka AutoCAD, fungsi asas lukisan ortografik dan isometrik, menyunting lukisan, serta teknik penyimpanan dan pencetakan hasil kerja. Latihan secara amali dan berfokus ini membantu pelajar memahami aplikasi dunia sebenar AutoCAD dalam bidang kejuruteraan dan reka bentuk, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk meneroka perisian secara kendiri.
Bengkel ini dikendalikan oleh pensyarah berpengalaman, Ir. Dr. Nurul Huda Ahmad, dengan sokongan Dr. Nuraihan Ismail, Puan Syahira Yusnina serta 19 pelajar Tahun 1 Kursus SRTI 1093 – Computer Aided Design (CAD), Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Rekabentuk Industri), SRTIH. Kehadiran fasilitator mahasiswa membantu mencipta suasana pembelajaran yang kondusif, santai dan interaktif – menjadikan bimbingan lebih mesra dan efektif.

Menurut Ketua Projek, Dr. Nuraihan Ismail, bengkel ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UTM dalam memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu dan kemahiran teknikal secara strategik.
“Pendedahan awal kepada perisian profesional seperti AutoCAD bukan sahaja memberi kelebihan akademik, malah membentuk minat dan potensi pelajar dalam bidang reka bentuk dan kejuruteraan. Ini seiring dengan matlamat UTM untuk menjadi peneraju dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi,” katanya.


Bengkel ditutup dengan sesi pembentangan hasil kerja dan refleksi pembelajaran. Para pelajar menunjukkan peningkatan ketara dalam pemahaman konsep teknikal serta aplikasi perisian, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan mereka dalam menyiapkan projek Reka Cipta SPM secara lebih sistematik dan berkesan.
Program seperti ini diharap dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah, seterusnya menyokong aspirasi negara dalam melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0. Komitmen UTM dalam menjalin kolaborasi bermakna dengan komuniti terus menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara.