JOHOR BAHRU, 26 April — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar satu lagi detik bersejarah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Canselor UTM, berkenan berangkat ke Majlis Santapan Petang bersama para pelajar. Majlis penuh bermakna ini berlangsung di Dewan Bandaraya Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Majlis yang dihadiri sekitar 500 orang pelajar ini bukan sekadar sebuah keraian, tetapi manifestasi kasih seorang Canselor yang sentiasa dekat di hati warga pelajar UTM. Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam sembah ucapannya merafak sembah setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Seri Paduka Baginda atas limpah perkenan berangkat dan menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa.
“Kurniaan santapan petang ini adalah manifestasi kasih Tuanku – seorang Canselor yang bukan sahaja penaung institusi ilmu, bahkan seorang intelektual yang menjadi sumber ilham dan inspirasi kepada generasi pewaris negara,” ujar beliau. Beliau turut berkongsi kecemerlangan pelajar UTM yang saban tahun membuktikan keunggulan mereka di mata industri. UTM mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 100% untuk dua tahun berturut-turut, bagi tahun 2023 dan 2024, sekali gus mengukuhkan kedudukan universiti ini sebagai institusi pilihan utama negara.

Sementara itu, Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Hazim Azatul Amery mewakili seluruh pelajar, beliau menzahirkan rasa syukur dan bangga terhadap kehadiran dan sokongan berterusan KDYMM SBP Raja Zarith Sofiah. “Kami berasa amat bertuah kerana mempunyai seorang Canselor yang bukan sahaja seorang figura diraja, tetapi juga seorang intelektual yang menyuntik semangat luar biasa dalam diri kami,” katanya. Beliau turut menyifatkan UTM sebagai rumah kedua bagi para pelajar, di mana mereka bukan sahaja dibimbing dan dilindungi, tetapi juga diberi ruang untuk berkembang menjadi insan seimbang yang bersedia menyumbang kepada dunia.

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong turut berkenan untuk menerima enam pelajar UTM untuk sama bersantap di meja utama. Pelajar berkenaan terdiri daripada Yang Di-Pertua MPP, Muhammad Hazim, A’faf A’qilah Ismail (Fakulti Mekanikal), Azeera Asyikin Nahar Efairuz (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan), Lee Woon Chong (Fakulti Pengurusan), Hollis Bunyeh Anak Francis (Fakulti Sains), dan Anushri A/P Batumanathan (Fakulti Kejuruteraan Awam).

Majlis ini turut dimeriahkan dengan suasana sambutan Aidilfitri dalam semangat kekeluargaan, menandakan hubungan erat antara institusi ilmu dan penaungnya. Semangat kebersamaan dan iltizam untuk terus menjunjung amanah ilmu jelas terpancar, seiring dengan moto universiti — Kerana Tuhan untuk Manusia. Majlis ini membuktikan satu lagi detik bermakna dalam sejarah UTM, apabila visi dan kasih seorang Canselor diraikan bersama tekad generasi muda yang bakal mewarnai masa depan negara.

