May 22, 2025

WhatsApp Image at cb

Kelab PEMADAM UTM anjur webinar hadapi tekanan hidup dalam kalangan pelajar

JOHOR BAHRU, 15 Apr – Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa, satu program berbentuk webinar bertajuk “Escape Toxicity: Retreat Mental Wellness” telah dianjurkan oleh Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta penganjur bersama iaitu PEMADAM Negeri Johor, PEMADAM Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling UTM. Program ini berlangsung secara dalam talian melalui platform Webex dan disertai lebih 410 pelajar daripada pelbagai fakulti. Pelaksanaan program ini telah diterajui oleh Muhammad Ikmal Mohamad Fauzi selaku Pengarah Program. 

Webinar ini berkonsepkan perkongsian ilmu dan pengalaman, menekankan pentingnya ‘self-care’ dan penciptaan ruang peribadi yang selamat dalam mendepani tekanan hidup serta persekitaran yang toksik. Objektif utama program ini adalah untuk membimbing pelajar dalam menangani emosi serta membina kesedaran tentang kesan persekitaran yang negatif terhadap kesejahteraan mental.

Antara yang menjadi daya tarikan utama program ini ialah pengisian santai namun bermakna daripada panel jemputan, Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling UTM, Dr. Zulfikar Ahmad. Beliau berkongsi pengalaman sebenar berkaitan tekanan emosi, serta kaedah dan strategi berkesan untuk menanganinya.

Dr. Zulfikar turut menyentuh isu-isu kritikal yang sangat relevan dengan cabaran semasa, terutamanya dalam kalangan belia. Beliau mengupas persoalan tentang bagaimana untuk kekal positif dan berdaya tahan secara mental dalam keadaan dunia yang semakin mencabar tanpa bergantung kepada bahan terlarang. Antara yang ditekankan ialah pentingnya kesedaran kendiri, sokongan sosial yang sihat dan pembangunan mekanisme daya tindak (coping mechanism) yang sihat seperti senaman, menulis jurnal dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Beliau juga menekankan bahawa tekanan daripada persekitaran toksik boleh menjadi pencetus kepada seseorang untuk kembali terjerumus dalam penyalahgunaan dadah. Oleh itu, membina ketahanan diri atau resilience adalah aspek penting dalam usaha mencegah berlakunya ‘relapse‘. Ini termasuk membentuk sempadan sihat (healthy boundaries), mendapatkan sokongan profesional, dan membina komuniti yang menyokong proses pemulihan.

Program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 3 Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, yang menekankan pentingnya kesihatan mental dan fizikal dalam komuniti. Seterusnya, SDG 4 Pendidikan Berkualiti kerana program ini antara inisiatif kelab PEMADAM untuk menyebarkan pendedahan untuk mengurus kesihatan mental secara santai. Di samping itu, SDG 17 Kerjasama demi Matlamat yang menerapkan kerjasama pelbagai pihak dan rakan kolaborasi bagi menjayakan program ini.

Diharapkan program ini dapat memberikan ruang dan sokongan mental yang bermanfaat kepada para peserta dalam menangani tekanan serta isu kesihatan emosi. Semoga inisiatif ini dapat menjadi satu langkah positif ke arah kesejahteraan diri, sekali gus mendorong kepada gaya hidup yang lebih sihat dan seimbang.

WhatsApp Image at fcf
Ahli Jawatankuasa yang terlibat berkumpul di Student Union Building Meeting Room 1 ketika program berlangsung untuk kelancaran program
WhatsApp Image at bdbf
Sesi fotografi bersama penonton, penceramah, dan ahli jawatankuasa yang terlibat

Explore More