Disember 26, 2024

DSC

30 Pelajar UTM berjaya terpilih dalam Program Latihan Industri Luar Negara 2024

Johor Bahru, 27 Jun – Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Latihan Industri Luar Negara sesi 2024 yang dirasmikan oleh Pengerusi UGS, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus di Dewan Bankuet, UTM Johor Bahru.

Majlis ini turut dihadiri oleh para dekan fakulti dan penyelaras latihan industri fakulti. Latihan industri luar negara sesi 2024 ini bakal disertai oleh 30 orang pelajar berbanding 10 orang pelajar bagi sesi yang lalu. Para pelajar ini merupakan penuntut di Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan Fakulti Sains (FS).

Pengurus Pengalaman Pembelajaran UGS, Ts. Dr. Mohd Akhmal Muhammad Sidek berkata dalam ucapannya, “Program latihan industri luar negara ini akan memberikan pengalaman kepada pelajar tentang situasi pekerjaan di dunia sebenar di samping menjalankan penyelidikan di Research Lab bertaraf antarabangsa. Pelajar juga akan mendapat pengalaman profesional, membina rangkaian global dan melatih diri untuk bersikap terbuka menerima perbezaan dari segi budaya dan pendapat akademik dalam menjalankan sesuatu penyelidikan di peringkat antarabangsa.”

 

DSC
Upacara perasmian Majlis Pelancaran Latihan Industri Luar Negara 2024

Penempatan pelajar bagi program ini merupakan institusi dalam kalangan Top 50 QS World University Ranking dan juga Top 50 dalam bidang pengajian dan pengkhususan sesuatu kursus, di mana pengurusan penempatan yang terlibat bukanlah mudah antaranya seperti di Seoul National University (SNU), Imperial College London (ICL), University of Edinburgh dan National University of Singapore (NUS).

Menurut Pengerusi UGS, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah, pihak UTM telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk merealisasikan program ini. Peruntukan yang disalurkan akan digunakan sepenuhnya untuk diberikan kepada semua pelajar yang terpilih mengikuti program ini. Menurutnya juga, program ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan daripada semua fakulti yang terlibat. Beliau juga berharap agar para pelajar dapat melaksanakan latihan industri dengan cemerlang dan membawa nama baik UTM di peringkat antarabangsa.

 

DSC
Kehadiran dekan dan penyelaras latihan industri fakulti

 

DSC
Pelajar-pelajar yang terpilih menyertai Latihan Industri Luar Negara 2024

 

 

Explore More