May 9, 2024

Search
Close this search box.

Kerjasama Antarabangsa dan Pertukaran Akademik: Penyelidik UTM Terlibat dengan Universiti Kebangsaan Pukyong dalam Komunikasi Optik dan Teknologi AI

28 Ogos 2023, Busan: Empat pensyarah UTM telah dijemput sebagai penyelidik tamu di Jabatan Kejuruteraan Komunikasi dan Informasi, Pukyong National University (PKNU), Korea Selatan pada 22-29 Ogos 2023 iaitu Dr. Muhammad Yusof Mohd Noor dan Dr. Mohd Rashidi Salim dari Kumpulan Penyelidikan Gelombang Cahaya (LCRG), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) serta Prof Madya Dr. Siti Sophiayati Yuhaniz dan Dr. Azizul Azizan dari Kumpulan Penyelidikan Sistem Siber-Fizikal (CPSRG), Fakulti Teknologi Informasi Razak.

Pada masa yang sama,  PKNU telah melantik Prof. Ir. Dr. Sevia Mahdaliza sebagai Profesor Tamu PKNU selama sebulan berkuat kursa 1  Ogos 2023 bagi projek kerjasama komunikasi optik. Jemputan ini adalah satu pengiktirafan kepada kedua-dua kumpulan penyelidik UTM, iaitu LCRG dan CPSRG dalam kerjasama penyelidikan antarabangsa dan penganjuran persidangan antarabangsa Korea-Malaysia di Kuala Lumpur tahun hadapan.

Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah menganjurkan program ceramah umum kepada pelajar dan pensyarah di PKNU, lawatan sekitar kampus dan perbincangan projek kerjasama dalam bidang komunikasi optik dan teknologi AI. Begitu juga, mesyuarat bersama Prof Hyunwoo Kim, Provost International Affairs PKNU yang disertai Prof. Yeon Ho Chung, seorang profesor kanan PKNU yang bertanggungjawab dan menjadi penghubung utama kerjasama PKNU-UTM telah diadakan untuk membincangkan kandungan memorandum persefahaman (MOU) UTM dengan PKNU.

Hasil dari mesyuarat tersebut satu MoU antara PKNU dan UTM akan ditandatangani pada Disember 2023 ini. MoU ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama kedua-dua institusi dan potensi sinergi dalam program antarabangsa, khususnya ditujukan kepada pelajar dan pensyarah kedua-dua institusi. Ia juga bertujuan untuk meluaskan peluang tersebut kepada pelajar dari kedua-dua institusi mengambil bahagian dalam program pengantarabangsaan seperti Sekolah Musim Panas dan Program Pertukaran Pelajar antara PKNU dan UTM.

Penulis: Dr. Muhammad Yusof Mohd Noor, Dr. Mohd Rashidi Salim dan Prof. Ir. Dr. Sevia Mahdaliza dari LCRG, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE)

Explore More